SHAH ALAM, 17 NOV: Beberapa individu dalam GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) bakal berdepan pendakwaan baharu atas kesalahan di bawah bidang kuasa negeri, kata EXCO Hal Ehwal Agama Islam.
Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata, semua individu yang terlibat sebelum ini bagaimanapun sudah menjalani hukuman mengikut peruntukan undang-undang dan dibebaskan atas kelakuan baik.
“Yang dibebaskan itu sebenarnya kerana mereka telah menjalani hukuman sepatutnya. Berdasarkan kelakuan baik mereka dibebaskan awal mengikut peruntukan undang-undang.
“Jadi bukan soal tiada kesalahan, sebaliknya kesalahan itu tetap ada. Mereka telah menjalani tempoh hukuman minimum dan dibebaskan selepas memenuhi syarat,” katanya ketika ditemui di Bangunan Setiausaha Kerajaan Negeri (SUK) di sini, hari ini.

Mohammad Fahmi turut memaklumkan bahawa pemantauan terhadap kumpulan berkenaan masih diteruskan dan proses pendakwaan sedang disiapkan sebelum difailkan di mahkamah.
“Pemantauan memang sedang dilakukan dan akan ada pendakwaan yang akan datang. Kes ini di bawah bidang kuasa negeri, melibatkan beberapa individu di dalam GISBH,” katanya.
Beliau bagaimanapun enggan mengulas lanjut mengenai butiran kes termasuk jenis mahkamah terlibat kerana proses pemfailan masih berjalan.
Pada 7 November lalu, Ketua Pegawai Eksekutif GISBH, Nasiruddin Mohd Ali, bersama anak bekas pengasas Al-Arqam serta 11 pemimpin tertinggi syarikat itu, dibebaskan selepas menjalani hukuman 13 bulan 20 hari di Penjara Sungai Buloh.




