ad

MBSA perkenal sistem pengebumian digital pertama selangor

29 Okt 2025, 7:00 AM
MBSA perkenal sistem pengebumian digital pertama selangor

SHAH ALAM, 29 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang memperkenalkan sistem permohonan pengebumian secara digital bagi memudahkan urusan waris ketika berlakunya kematian.

Penolong Pegawai Undang-undang MBSA, Mohd Yusri Ab Malek, berkata sistem dalam talian itu membolehkan orang ramai mengurus permohonan pengebumian, membuat pembayaran serta mencari lot pusara secara digital tanpa perlu hadir ke kaunter.

“Sebelum ini semua urusan dibuat secara manual, tetapi dengan sistem ini, proses boleh diselesaikan dalam masa kira-kira 10 minit sahaja.

“Waris juga boleh mencari lokasi kubur yang dikehendaki terus melalui aplikasi,” katanya ketika ditemui pada Festival IDEA @ Selangor 2025 di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Shah Alam, baru-baru ini.

Menurut beliau, platform itu turut menyelesaikan masalah urusan pembayaran yang sebelum ini hanya boleh dilakukan pada hari bekerja, namun kini boleh diakses 24 jam setiap hari.

“MBSA turut menyediakan kemudahan sama bagi penganut Hindu dan Kristian melalui sistem i-PUSARA,” jelasnya.

Mohd Yusri menambah, semua transaksi menerusi laman web i-PUSARA dilaksanakan secara telus tanpa sebarang caj tersembunyi, namun ia hanya melibatkan urusan pengebumian dan tidak merangkumi pengurusan jenazah luar.

Festival IDEA @ Selangor yang berlangsung selama dua hari pada 25 dan 26 Oktober lalu turut menampilkan reruai pelancongan, warisan, perbankan, keusahawanan, sains dan teknologi.

Perasmian disempurnakan oleh Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Amirudin Shari.