ad

18 kanak-kanak dikesan alami gangguan perkembangan menerusi saringan ANIS

29 Okt 2025, 5:00 AM
18 kanak-kanak dikesan alami gangguan perkembangan menerusi saringan ANIS
18 kanak-kanak dikesan alami gangguan perkembangan menerusi saringan ANIS

SHAH ALAM, 29 OKT: Sebanyak 18 kes melibatkan gangguan perkembangan awal kanak-kanak termasuk autisme, gangguan hiperaktif kurang perhatian (ADHD) serta masalah pertuturan dikesan menerusi Program Saringan Anak Istimewa Selangor (ANIS) yang dijalankan di Klinik Kesihatan Simpang Lima, Sabak Bernam, baru-baru ini.

Program anjuran Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS) dengan kerjasama Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) serta Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Sabak Bernam itu bertujuan mengenal pasti tahap perkembangan anak sejak peringkat awal bagi membolehkan intervensi segera dilaksanakan secara sistematik dan berkesan.

Eksekutif Kanan YANIS, Muhammad Talha Takril berkata seramai 19 kanak-kanak berusia tujuh tahun ke bawah menjalani saringan dijalankan pasukan profesional terdiri daripada pakar perubatan keluarga dan kanak-kanak, jurupulih cara kerja, jurupulih pertuturan, jurupulih fisioterapi serta pakar audiologi.

“Program ini menilai perkembangan kanak-kanak dari segi pertuturan, sosial dan interaksi. Hasil pemeriksaan mendapati empat kes disyaki autisme, lima kes ADHD, empat kes masalah pembelajaran dan lima kes kelewatan pertuturan.

"Kesemua keluarga terlibat akan dirujuk untuk intervensi awal,” katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Muhammad Talha menjelaskan ramai ibu bapa masih keliru menyangka saringan itu sekadar pemeriksaan kesihatan biasa, sedangkan ia menilai aspek perkembangan menyeluruh bagi membantu pengesanan awal.

“Dengan saringan ini, kita berharap ibu bapa lebih bersedia dan memahami keadaan anak mereka. Langkah awal ini penting supaya potensi anak-anak istimewa dapat dibangunkan secara optimum melalui intervensi dan bimbingan profesional,” katanya.

Beliau berkata, inisiatif Saringan ANIS akan diperluas ke seluruh daerah secara berperingkat sebagai usaha Kerajaan Negeri melalui YANIS untuk memperkukuh akses kepada perkhidmatan kesihatan dan sokongan keluarga anak istimewa di Selangor.

Antara lokasi terdekat program saringan ialah:

  • Klinik Kesihatan Jeram – 8 November 2025

  • Klinik Kesihatan Serendah – 15 November 2025

  • Klinik Kesihatan Bandar Tun Hussein Onn – 22 November 2025

Orang ramai yang berminat boleh membuat permohonan melalui laman rasmi YANIS di www.yanis.org.my atau e-mel ke info@yanis.org.my