ad

MBPJ lancar sistem PA24 percepat kelulusan pembangunan

28 Okt 2025, 4:08 AM
MBPJ lancar sistem PA24 percepat kelulusan pembangunan

SHAH ALAM, 28 OKT: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) melancarkan Inisiatif PA24, sistem kelulusan Kebenaran Merancang (KM) dalam tempoh 24 jam, menjadikannya yang pertama seumpamanya di Selangor bagi mempercepat proses pembangunan tanpa mengabaikan kawalan perancangan bandar.

Timbalan Datuk Bandar, Aznan Hassan berkata, pelaksanaan PA24 merupakan langkah proaktif MBPJ menyahut agenda Reformasi Perkhidmatan Awam (ARPA), Kerangka Reformasi Sistem Penyampaian dan Tadbir Urus Negeri Selangor (RSTU) serta Dasar SPEED Selangor.

“Inisiatif PA24 dibangunkan berlandaskan Model Reformasi Karenah Birokrasi (RKB) yang diperkenalkan oleh Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC). Ia bertujuan mengurangkan beban peraturan tidak wajar bagi mempercepat proses kelulusan, meningkatkan daya saing serta menyokong pertumbuhan ekonomi dan kesejahteraan rakyat,” katanya ketika berucap pada majlis pelancaran PA24 di Hotel Crystal Crown, Petaling Jaya.

Beliau berkata, sistem itu dilihat sebagai langkah penambahbaikan terhadap dasar dan prosedur sedia ada agar lebih cekap, telus serta seiring perkembangan teknologi dan trend pembangunan semasa.

“Pembangunan lazimnya dikaitkan dengan kemakmuran dan pertumbuhan ekonomi, namun ia mesti dikawal dengan baik agar tidak menjejaskan kualiti persekitaran serta kesejahteraan rakyat. PA24 memastikan keseimbangan antara kelulusan pantas dan kawalan pembangunan bandar terus terpelihara,” jelasnya.

Menurutnya, PA24 dibangunkan melalui kolaborasi strategik bersama Pertubuhan Perancang Malaysia (MIP), Pertubuhan Arkitek Malaysia (PAM) dan Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) bagi menjamin standard teknikal serta pematuhan profesional.

Aznan berkata, pelaksanaan PA24 akan dilaksanakan secara berfasa melibatkan kategori permohonan pembangunan kecil dan berisiko rendah terlebih dahulu sebelum diperluas ke skala lebih besar.

Beliau menjelaskan, sistem tersebut turut mengintegrasi proses digital termasuk semakan automatik dokumen, penilaian risiko, dan audit jejak keputusan bagi memastikan ketelusan serta akauntabiliti setiap permohonan.

Katanya lagi, inisiatif itu diyakini dapat merancakkan pertumbuhan ekonomi tempatan, menggalakkan pelaburan serta memendekkan tempoh pemprosesan yang selama ini menjadi antara cabaran utama dalam sistem perancangan bandar.

“MBPJ komited meneruskan apa jua usaha bagi memastikan perkhidmatan yang diberikan sentiasa relevan dengan peredaran zaman yang semakin mencabar,” katanya lagi.

Inisiatif PA24 turut disokong sepenuhnya oleh Kerajaan Negeri Selangor sebagai sebahagian daripada langkah memperkasa SPEED Selangor, iaitu dasar mempercepat penyampaian perkhidmatan awam secara digital dan responsif.

Pelaksanaan PA24 menjadikan Petaling Jaya sebagai perintis dalam transformasi pentadbiran Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) ke arah bandar pintar, mampan dan berdaya saing, seiring visi menjadikan Selangor negeri paling maju di Malaysia menjelang 2025.