SEPANG, 27 OKT: Pasukan udara Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) melaksanakan misi pemindahan perubatan (MEDEVAC) melibatkan pelumba Moto3, Jose Antonio Rueda dari pasukan Red Bull KTM Ajo, di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) semalam.
Menurut kenyataan Maritim Malaysia, misi itu menggunakan pesawat AS-365 N3 Dauphin dengan tanda panggilan MEDEVAC 2 (M70-01 / MAR399C) yang berlepas dari SIC pada jam 12.50 tengah hari menuju ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) untuk rawatan lanjut.
Pesawat dikemudi Leftenan Komander Maritim Mohd Akil Md Yussof, dibantu Leftenan Maritim Mohd Hairul Mohd Yassin dan Bintara Muda Maritim Wan Ahmad Fahmi Wan Zakaria, serta turut membawa seorang doktor, paramedik dan pegawai pasukan yang mengiringi pesakit.
"Pesawat selamat mendarat di HKL pada jam 1.10 petang, dan proses pemindahan pesakit berjalan lancar dengan kerjasama petugas kesihatan sebelum pesawat kembali ke SIC bagi meneruskan penugasan sempena MotoGP Malaysia 2025," katanya.
Maritim Malaysia memaklumkan penglibatan aset udaranya dalam kejohanan itu menunjukkan komitmen agensi terhadap kesiapsiagaan kecemasan nasional.
"Penglibatan aset udara Maritim Malaysia dalam acara berprofil tinggi ini mencerminkan komitmen agensi dalam menyokong kesiapsiagaan kecemasan nasional, selain memperkukuh imej negara dalam aspek keselamatan dan bantuan kemanusiaan di arena antarabangsa," katanya.



