SHAH ALAM, 27 OKT: Profesion penjaga atau care giver kini tidak lagi dianggap sekadar tugas kebajikan, sebaliknya muncul sebagai kerjaya baharu yang semakin mendapat perhatian.
Melalui pelaksanaan kursus latihan di Universiti Selangor (Unisel) dan Selangor Technical Skills Development Centre (STDC), bidang ini diangkat ke tahap profesional serta membuka peluang kerjaya baharu dalam industri berimpak sosial tinggi.
Inisiatif ini merupakan sebahagian daripada usaha Kerajaan Negeri memperkasa sektor pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET) dalam bidang penjagaan warga emas, kanak-kanak dan individu berkeperluan khas.
Langkah tersebut bukan sahaja bertujuan melahirkan tenaga kerja berkemahiran, malah mengiktiraf profesion penjagaan sebagai bidang yang mampu menyumbang kepada pembangunan ekonomi dan kesejahteraan sosial negeri.
Menurut Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Selangor Azmir Kassim, persepsi rendah terhadap kerjaya penjagaan berpunca daripada nilai sosial yang melihat tugas menjaga warga emas sebagai tanggungjawab moral dan bukannya peluang profesional.
“Kefahaman masyarakat terhadap care giver sebagai satu kerjaya masih rendah. Kajian oleh Nurani dan Zuraini (2020) mendapati hanya sekitar 40 peratus masyarakat memahami bahawa kerja penjagaan ini boleh menjadi kerjaya profesional.
“Dalam budaya kita, menjaga warga emas dilihat sebagai kewajipan kasih sayang, bukan kemahiran yang perlu diasah. Jadi masyarakat belum melihat ia sebagai bidang yang boleh diterokai secara profesional,” katanya menerusi program Bicara Semasa terbitan Media Selangor.

Bagaimanapun, melalui Belanjawan 2026, Kerajaan Negeri memperuntukkan dana khusus bagi memperkukuh latihan dan kerjaya penjagaan sebagai profesion rasmi.
Langkah ini dijangka membuka lebih banyak ruang pekerjaan serta memberi pengiktirafan kepada tenaga penjaga yang selama ini bekerja secara tidak formal.
Ubah persepsi, kerjaya penjagaan bukan sekadar kasih sayang
Usaha memperkenalkan latihan berstruktur di institusi seperti Unisel dan STDC turut bertujuan menormalisasikan kerja penjagaan sebagai bidang berkemahiran tinggi, setaraf dengan kerjaya lain dalam sektor kesihatan dan sosial.
“Kita mahu ubah pandangan bahawa kerja penjagaan ini bukan sekadar ‘menjaga dengan kasih sayang’, tetapi satu bentuk kepakaran yang memberi nilai ekonomi dan sosial,” jelasnya.
Dengan populasi warga emas dijangka meningkat dalam satu dekad akan datang, keperluan penjaga profesional turut melonjak, menjadikan bidang ini laluan kerjaya masa depan yang stabil dan bermakna.




