Selangor cadang tawar kursus penjagaan warga emas, kanak-kanak di Unisel dan STDC

9 Okt 2025, 6:56 AM
Selangor cadang tawar kursus penjagaan warga emas, kanak-kanak di Unisel dan STDC
Selangor cadang tawar kursus penjagaan warga emas, kanak-kanak di Unisel dan STDC

KUALA LUMPUR, 9 OKT: Kerajaan Negeri bercadang memperkenal kursus penjagaan warga emas dan kanak-kanak di institusi pendidikan tinggi di bawah pentadbirannya, sekali gus membuka lebih banyak peluang pekerjaan.

EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari berkata cadangan itu berikutan terdapatnya saranan daripada penggiat industri yang mahu kursus penjagaan tersebut diperkenalkan ke peringkat lebih tinggi.

"Saya bercadang untuk perkenalkan kursus penjagaan ini di peringkat pengajian tinggi Universiti Selangor (Unisel) dan Pusat Pembangunan Kemahiran Teknikal Selangor (STDC).

“Di Unisel ada kursus berkaian penjagaan tetapi lebih kepada jururawat, dan kita mahu ia dikembangkan. Manakala di STDC pula kita tidak mahu hanya memfokuskan kerja-kerja baiki motor atau pendingin hawa sahaja sebaliknya juga penjagaan warga emas dan kanak-kanak.

“Kita melihat kerjaya penjagaan melibatkan kanak-kanak dan warga emas ini berpotensi besar tetapi penarafan pensijilan kurang diuar-uarkan,” katanya.

Beliau ditemui selepas hadir sesi dialog Sidang Kemuncak Penjagaan Antarabangsa Selangor (SICS) 2025 sempena Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, hari ini.

Anfaal turut memaklumkan pihaknya akan mengadakan pertemuan dengan setiap pihak berkuasa tempatan (PBT) berhubung pembukaan pusat-pusat jagaan di kawasan kediaman.

“Setiap pusat jagaan yang dibuka perlu mendapat kelulusan PBT dan juga kawasan kejiranan. Masyarakat beranggapan pembukaan pusat jagaan ini bising, jadi perlu diubah stigma ini.

“Oleh itu, perlu ada perubahan daripada aspek undang-undang kecil atau syarat di peringkat PBT sendiri yang memungkinkan pemberian lesen kepada pusat penjagaan,” katanya.