ad

Festival Subang Jaya 2025 semarak gaya hidup sihat, semangat hijau

26 Okt 2025, 10:34 AM
Festival Subang Jaya 2025 semarak gaya hidup sihat, semangat hijau

SUBANG JAYA, 26 OKT: Festival Subang Jaya 2025 sempena ulang tahun kelima pengisytiharan Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) berlangsung meriah dengan semangat gaya hidup sihat dan kelestarian alam dalam kalangan penduduk.

Penjawat awam, Nor Fazliza Kamsi, 40, berkata program seperti itu amat baik kerana menggalakkan masyarakat keluar beriadah sambil menyokong inisiatif hijau.

“Ada pokok mereka bagi percuma, siapa nak boleh ambil. Saya memang suka berkebun, jadi bolehlah tambah koleksi pokok di rumah,” katanya kepada Media Selangor.

Penjawat awam, Nor Fazliza Kamsi menyambut baik penganjuran festival tersebut. Foto MBSJ

Pelajar, Habibi Hareth, 15, pula menyertai acara larian itu sebagai usaha mengekalkan kecergasan diri.

“Saya main liga bola sepak. Ibu bapa pun galakkan saya datang sebab boleh tingkatkan kecergasan. Dalam padang pun saya cepat pancit, jadi mereka suruh saya sertai acara ini untuk tambah stamina,” katanya.

Rakannya, Lin Yin Jack, turut teruja menyertai program MBSJ buat kali pertama.

“Saya datang sebab program ni baik untuk sihatkan badan. Ada minuman percuma dan kalau bernasib baik boleh menang motosikal,” katanya sambil tersenyum.

Lin Yin Jack, 15, turut teruja menyertai program MBSJ. Foto MBSJ

Festival kali ini turut menyaksikan pelajar berusia 10 tahun, Aseefuddeen Azmawi, muncul pemenang utama cabutan bertuah apabila membawa pulang skuter elektrik, simbol usaha MBSJ mempromosi penggunaan kenderaan mesra alam.

Bapanya, Azmawi Ismail, 47, yang juga pengunjung setia program MBSJ, tidak menyangka gurauan Aseefuddeen akhirnya menjadi kenyataan.

“Sebelum ini dia bergurau, ‘Abah, kita masuk, mana tahu ada rezeki’. Tak sangka kali ini memang rezeki dia. Skuter ni saya akan guna untuk ke surau dan bawa dia bersama,” katanya.

Bersempena Hari Tanpa Kenderaan, festival yang diadakan di kawasan Empire dan Subang Parade itu turut menampilkan pelbagai aktiviti berkonsep hijau dan riadah keluarga termasuk zumba, larian santai, pemberian pokok percuma serta cabutan bertuah.