SUBANG JAYA, 26 OKT: Lima tahun selepas diisytiharkan sebagai bandar raya, Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) terus maju berteraskan semangat dan sokongan utuh masyarakat setempat.
Timbalan Datuk Bandar Subang Jaya Mohd Zulkurnain Che Ali berkata, konsep masyarakat bersama majlis sentiasa menjadi tunjang dalam setiap perancangan dan tindakan MBSJ, bagi memastikan pembangunan fizikal dan sosial bergerak seiring dengan kesejahteraan komuniti.
“Yang penting, masyarakat bersama kita sebab apabila dinaik taraf jadi bandar raya, perkhidmatan perlu berada di landasan betul.
"Maknanya, masyarakat dengan kita bersama-sama memajukan Subang Jaya. Tanpa masyarakat kita tak akan boleh ke mana-mana," katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui Media Selangor pada Festival Subang Jaya 2025 sempena ulang tahun kelima pengisytiharan MBSJ yang turut diserikan dengan program Hari Tanpa Kenderaan di Dataran USJ 1.
Mohd Zulkurnain berkata, sepanjang tempoh lima tahun ini, MBSJ tidak terlepas daripada cabaran luar jangka seperti kejadian letupan paip gas dan banjir besar di beberapa kawasan.
Bagaimanapun katanya, perkara itu dapat diatasi hasil kerjasama erat dengan pelbagai agensi kerajaan termasuk polis, bomba serta jabatan teknikal lain.
"Selain aspek keselamatan dan kesiapsiagaan, kami turut menumpukan usaha terhadap kebersihan bandar, penyelenggaraan lampu jalan, sistem perparitan serta penambahbaikan sistem aduan awam agar lebih pantas dan responsif terhadap keperluan rakyat," katanya.

Festival Subang Jaya 2025 mencatat sambutan luar biasa dengan kehadiran lebih 3,000 penduduk setempat, termasuk pelajar sekolah dan komuniti Orang Kurang Upaya (OKU), melalui kerjasama Pejabat Pendidikan Daerah dan Persatuan Orang Pekak Malaysia.
Sepanjang festival berlangsung, pelbagai aktiviti menarik diadakan antaranya senamrobik, larian santai 4.3 kilometer, Eksplorasi Subang Jaya, Pushbike Challenge, pertandingan e-Sukan, Netball Shootout, pemeriksaan kesihatan percuma, Eco Free Market, cabutan bertuah serta bazar makanan.
Sebagai inisiatif menghijaukan bandar, MBSJ turut mengedarkan 2,000 pokok hiasan dan herba kepada orang ramai bagi menggalakkan aktiviti bercucuk tanam di rumah.





