ad

Stesen di tiga laluan Rapid KL ditutup sementara atas faktor keselamatan

26 Okt 2025, 9:32 AM
Stesen di tiga laluan Rapid KL ditutup sementara atas faktor keselamatan

SHAH ALAM, 26 OKT: Beberapa stesen perkhidmatan Rapid KL ditutup sementara hari ini antara jam 4 hingga 6 petang atas faktor keselamatan sempena penganjuran Sidang Kemuncak Asean ke-47.

Rapid KL memaklumkan penutupan itu membabitkan beberapa stesen di tiga laluan utama iaitu Laluan Kelana Jaya, Putrajaya dan Kajang.

Antara stesen terlibat ialah:

Laluan Kelana Jaya: Ampang Park dan KLCC

Laluan Putrajaya: Conlay, Persiaran KLCC dan Ampang Park

Laluan Kajang: Bukit Bintang

Katanya, semua stesen lain beroperasi seperti biasa sepanjang tempoh penutupan berkenaan.

“Penumpang dinasihatkan menggunakan laluan atau mod pengangkutan alternatif sepanjang tempoh penutupan.

"Untuk sebarang bantuan, orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut daripada pegawai stesen atau Polis Bantuan yang bertugas,” menurut kenyataan tersebut.

Rapid KL turut menasihati pengguna untuk mengikuti saluran rasmi mereka bagi mendapatkan kemas kini terkini berhubung operasi perkhidmatan tren.

“Kami memohon maaf atas kesulitan yang dialami dan amat menghargai kesabaran semua pengguna,” katanya.