LRT Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi seperti biasa

26 Nov 2026, 4:44 AM
LRT Laluan Kelana Jaya kembali beroperasi seperti biasa

SHAH ALAM, 26 NOV: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) Laluan Kelana Jaya yang terjejas akibat gangguan bekalan kuasa landasan pagi tadi kembali beroperasi seperti biasa.

Rapid KL memaklumkan operasi kembali pulih mulai jam 10.09 pagi selepas kerja baik pulih bekalan kuasa landasan berjaya diselesaikan.

Susulan pemulihan itu, perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara yang disediakan sebelum ini turut ditamatkan.

“Semua tren kini kembali beroperasi di sepanjang laluan seperti biasa, manakala kekerapan perkhidmatan sedang diselaraskan secara berperingkat bagi memastikan pergerakan tren kembali stabil dan mengikut jadual operasi,” katanya dalam kenyataan.

Pasukan teknikal Rapid KL menjalankan kerja baik pulih susulan gangguan bekalan kuasa landasan yang menjejaskan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya antara Stesen Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang pada 26 November 2026. Foto Facebook Rapid KL

Terdahulu, gangguan bekalan kuasa landasan menjejaskan pergerakan tren antara Stesen Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang, menyebabkan penumpang berdepan tempoh menunggu lebih lama di platform.

Susulan gangguan itu, Rapid KL menyediakan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma bagi membantu penumpang meneruskan perjalanan.

“Pasukan teknikal dan operasi Rapid KL akan terus menjalankan pemantauan bagi memastikan kestabilan bekalan kuasa serta kelancaran perkhidmatan Laluan Kelana Jaya selepas pemulihan ini,” katanya.

Rapid KL turut memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami penumpang sepanjang tempoh gangguan serta menghargai kesabaran dan kerjasama mereka.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.