Gangguan bekalan kuasa jejas empat stesen LRT Kelana Jaya

26 Nov 2026, 12:41 AM
Gangguan bekalan kuasa jejas empat stesen LRT Kelana Jaya

SHAH ALAM, 26 NOV: Rapid KL menyediakan perkhidmatan tren alternatif dan bas perantara percuma susulan gangguan bekalan kuasa landasan yang menjejaskan perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya, pagi ini.

Rapid KL memaklumkan gangguan itu membabitkan empat stesen iaitu Subang Jaya, Glenmarie, Ara Damansara dan Lembah Subang.

Susulan itu, tren dari Stesen Putra Heights berpatah balik di Stesen Subang Jaya, manakala tren dari Stesen Gombak berpatah balik di Stesen Lembah Subang dengan jangkaan kekerapan setiap enam minit.

Perkhidmatan tren perantara antara empat stesen terjejas turut disediakan di platform dua dengan jangkaan kekerapan setiap 12 minit.

Bas perantara ulang-alik percuma pula disediakan antara stesen terbabit dengan kekerapan setiap 15 hingga 20 minit, bergantung pada keadaan trafik semasa.

“Susulan gangguan operasi ini, penumpang dijangka mengalami masa menunggu yang lebih lama di platform, khususnya bagi perkhidmatan tren ulang-alik.

“Penumpang dinasihatkan untuk menggunakan laluan alternatif bagi meneruskan perjalanan ke destinasi masing-masing, seperti Laluan Ampang/Sri Petaling, Laluan Kajang dan Laluan Putrajaya,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Rapid KL turut memaklumkan pasukan teknikal berada di lokasi bagi menjalankan kerja baik pulih untuk memulihkan operasi normal secepat mungkin.

"Anggota polis bantuan dan petugas stesen turut ditempatkan di platform serta ruang legar stesen bagi memastikan keselamatan dan kelancaran pergerakan penumpang.

"Pengumuman berkala mengenai jadual perjalanan tren turut dibuat di stesen," katanya.

Penumpang disaran merujuk laman media sosial Rapid KL atau aplikasi MyRapid PULSE bagi mendapatkan status terkini perkhidmatan Laluan Kelana Jaya.

Kategorinasional

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.