SHAH ALAM, 26 OKT: Tourism Selangor bekerjasama dengan Sekolah Kebangsaan Perempuan Methodist Klang menganjurkan program silang budaya melibatkan pelajar dari Malaysia dan Jepun sebagai sebahagian usaha mempromosi Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS2025).
Dalam kenyataan di Facebook, agensi pelancongan negeri itu memaklumkan program yang berlangsung pada Khamis lalu disertai 67 pelajar serta 10 wakil pengurusan dari Singapore Japanese Elementary Changi School, bersama pelajar tempatan sekitar daerah Klang.
“Tourism Selangor yakin penganjuran seperti ini dapat memperkukuh hubungan antarabangsa dan meningkatkan pengetahuan kebudayaan serta industri pelancongan negeri dalam kalangan pelajar dan guru luar negara.
“Program ini juga secara tidak langsung menyokong matlamat TMS2025 dalam memperkenalkan keunikan budaya dan warisan Selangor di peringkat global,” menurut kenyataan itu.
Program dimulakan dengan persembahan pembukaan Tarian Keroncong Selangor, diikuti demonstrasi silat dan permainan tradisional seperti batu seremban serta congkak yang turut mendapat sambutan pelajar antarabangsa.
Bersempena TMS2025, Kerajaan Negeri menyasarkan lapan juta kehadiran pelancong dengan nilai transaksi pelancongan mencecah RM11.7 bilion.
Sepanjang kempen itu, lebih 100 program bertemakan pelancongan akan dilaksanakan dengan tumpuan kepada segmen ekopelancongan, agro, seni dan budaya.





