ad

Anak Selangor bakal nikmati kemudahan khas di tiga IPT negeri

25 Okt 2025, 12:57 PM
Anak Selangor bakal nikmati kemudahan khas di tiga IPT negeri
Anak Selangor bakal nikmati kemudahan khas di tiga IPT negeri
Anak Selangor bakal nikmati kemudahan khas di tiga IPT negeri
Anak Selangor bakal nikmati kemudahan khas di tiga IPT negeri

SHAH ALAM, 25 OKT: Anak Selangor yang melanjutkan pelajaran ke tiga institusi pendidikan tinggi milik negeri bakal menerima kemudahan istimewa.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari, berkata, inisiatif tersebut yang akan diumumkan dalam Belanjawan Selangor 2026 melibatkan Universiti Islam Selangor (UIS), Universiti Selangor (Unisel), dan Kolej Universiti Selangor Teknologi Digital (STDC).

Menurutnya, langkah itu bertujuan memastikan anak-anak Selangor mendapat sokongan pendidikan terbaik selepas Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

"Ketiga-tiga institusi ini milik Kerajaan Negeri supaya anak-anak, terutamanya warga dan anak Selangor, mempunyai peluang melanjutkan pengajian,” katanya ketika berucap pada majlis penutup Seminar Skor A+ di sini, hari ini.

Dalam pada itu, EXCO Pendidikan itu menambah, kestabilan rizab kewangan dan pertumbuhan ekonomi negeri membolehkan Kerajaan Negeri memperkukuh pelaburan dalam sektor pendidikan.

“Kita di negeri ini nak bagi semua rasa apa beza di Selangor, di mana kerajaan menawarkan sesuatu di institusi kita dengan dana yang ada. Alhamdulillah, kita negeri maju.

“Tapi apa yang kita mahu adalah (memastikan) pendidikan anak-anak terus terjamin dengan sokongan yang ada dari Kerajaan Negeri,” katanya lagi.

Amirudin menegaskan pembangunan pendidikan Selangor selaras dengan agenda melahirkan modal insan berdaya saing yang mampu menyumbang kepada kemajuan negeri.

Katanya, perincian lanjut mengenai bentuk kemudahan khas itu akan diumumkan semasa pembentangan Belanjawan Selangor 2026 pada 14 November ini.

Langkah ini dijangka memberi manfaat kepada ribuan pelajar tempatan setiap tahun, sekaligus mengukuhkan UIS, Unisel dan STDC sebagai teras pendidikan tinggi negeri.

Program Seminar Skor A+, anjuran Yayasan Selangor dengan kerjasama Jabatan Pendidikan Negeri, tahun ini buat julung kali mendapat penyertaan UIS dan Unisel, membabitkan lebih 2,000 calon SPM cemerlang dari 10 daerah seluruh negeri.