ad

Kerajaan Negeri sedia bawa pulang 61 pelajar terkandas di Jakarta

25 Okt 2025, 8:22 AM
Kerajaan Negeri sedia bawa pulang 61 pelajar terkandas di Jakarta

SHAH ALAM, 25 OKT: Kerajaan Negeri bersedia membantu membawa pulang 61 pelajar yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta, Indonesia semalam akibat masalah ejen pelancongan.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pihaknya akan berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta bagi mendapatkan maklumat lanjut serta menyalurkan bantuan termasuk urusan penerbangan pulang pelajar terbabit.

“Kita akan berhubung dengan Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia (Jakarta) bagi menilai bentuk bantuan yang boleh disalurkan, khususnya dari segi sokongan logistik dan penerbangan.

"Pada masa sama, kita akan semak dengan pihak sekolah bagi memastikan kebajikan semua pelajar terlibat terjamin,” katanya selepas merasmikan Festival Idea @ Selangor di Dewan Agung Tuanku Canselor, Universiti Teknologi MARA (UiTM) di sini, hari ini.

Beliau turut memberi jaminan bahawa Kerajaan Negeri komited menyelesaikan isu berkenaan dengan segera bagi memastikan keselamatan dan kepulangan pelajar ke tanah air berjalan lancar.

Terdahulu, media melaporkan seramai 61 pelajar sekolah dari Selangor terkandas lebih tiga jam di Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta semalam selepas ejen pelancongan gagal hadir menguruskan pengangkutan dan penginapan mereka.

Duta Besar Malaysia ke Indonesia, Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin memaklumkan, pihak kedutaan bertindak pantas menempatkan semua pelajar berkenaan di sebuah hotel berhampiran lapangan terbang sementara menunggu urusan selanjutnya.