Dana RM4 juta baik pulih, senggara sekolah agama di Selangor

13 Ogos 2026, 7:58 AM
Dana RM4 juta baik pulih, senggara sekolah agama di Selangor

SHAH ALAM, 13 OGOS: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM4 juta bagi melaksanakan kerja baik pulih, penyelenggaraan dan naik taraf antara 25 hingga 30 sekolah agama pada tahun ini.

EXCO Agama Islam Dr Mohammad Fahmi Ngah berkata peruntukan menerusi P14 Baik Pulih dan Naik Taraf itu membabitkan Sekolah Rendah Agama (SRA), Sekolah Rendah Agama Integrasi (SRAI) serta Sekolah Agama Menengah (SAM) berstatus Sekolah Agama Bantuan Kerajaan (SABK).

"Bagi 2026, peruntukan RM4 juta dapat menampung kerja baik pulih, penyelenggaraan dan naik taraf bangunan sekitar 25 hingga 30 sekolah sahaja.

"Kita tidak dapat memberikan peruntukan P14 secara sekali beri kepada semua sekolah disebabkan kekangan peruntukan yang diterima berbanding bilangan sekolah sedia ada yang amat banyak," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sesi penggulungan menjawab pertanyaan Ahli Dewan Negeri (ADN) Batang Kali Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani membangkitkan cadangan bantuan sekali beri setiap tahun kepada sekolah KAFA, SRA, SRAI dan SAR bagi meringankan beban kos baik pulih serta keperluan lain pada sidang Dewan Negeri Selangor (DNS) hari ini.

Menurut Fahmi, peruntukan P14 tertakluk kepada tatacara tertentu dan tidak boleh disalurkan kepada pihak sekolah dalam bentuk sumbangan terus atau bantuan kewangan sekali beri.

Sebaliknya, kerja fizikal dan penyelenggaraan katanya perlu dilaksanakan berdasarkan penilaian terhadap keperluan, merit serta keutamaan setiap sekolah.

"Peruntukan P14 tidak boleh disalurkan dalam bentuk sumbangan terus atau bantuan secara one-off.

"Sebaliknya, kerja fizikal atau penyelenggaraan di bawah peruntukan ini wajib dilaksanakan oleh pihak kita berdasarkan penilaian merit dan keutamaan," jelasnya.

Selain itu katanya, Kerajaan Negeri turut menyediakan peruntukan RM1 juta setahun bagi lima Maahad Integrasi Tahfiz Selangor (MITS).

"Mana-mana pihak sekolah yang memerlukan bantuan kewangan secara sekali beri disarankan memohon terus melalui saluran khas di bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Lembaga Zakat Selangor (LZS) atau Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM)," katanya.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.