SHAH ALAM, 5 FEB: Kerajaan Negeri akan mempercepatkan bantuan baik pulih dan sokongan kebajikan kepada penduduk yang terjejas akibat ribut di Taman Sejahtera, Jenjarom, Kuala Langat, semalam.
EXCO Sumber Manusia, V. Papparaidu, berkata sebanyak 11 rumah mengalami kerosakan bumbung teruk, manakala beberapa kediaman lain turut terjejas akibat pokok tumbang dan kerosakan struktur dalam kejadian sekitar jam 2.30 petang semalam
“Hari ini saya turun meninjau keadaan rumah penduduk yang terkesan akibat ribut di Taman Sejahtera, dan sempat berjumpa mangsa bagi melihat sendiri keadaan kediaman mereka serta mendengar keperluan segera yang diperlukan.
“Kerajaan Negeri melalui agensi berkaitan akan mempercepatkan proses penilaian kerosakan dan penyaluran bantuan baik pulih serta sokongan kebajikan supaya keluarga terlibat dapat kembali menjalani kehidupan dengan lebih selesa dan selamat,” katanya menerusi Facebook.
Ahli Dewan Negeri (ADN) Banting itu turut menzahirkan penghargaan kepada ahli majlis, anggota penyelamat serta sukarelawan yang bertindak pantas membantu penduduk terlibat.
Terdahulu, kesan pusaran angin kecil dilapor melanda beberapa kawasan di Kuala Langat antaranya di Taman Seri Medan Jaya, Taman Sejahtera dan Kampung Orang Asli Busut Baru di Sijangkang.


