ad

Kerjasama Selangor–IIT Madras buka ruang pembelajaran, inovasi bertaraf dunia

22 Okt 2025, 11:32 AM
Kerjasama Selangor–IIT Madras buka ruang pembelajaran, inovasi bertaraf dunia

SHAH ALAM, 22 OKT: Pelajar tempatan bakal mendapat akses pembelajaran dan inovasi bertaraf dunia menerusi kerjasama Selangor dengan Institut Teknologi India (IIT) Madras, kata EXCO pelaburan.

Menurut Ng Sze Han, ia memperkukuh kedudukan negeri dalam teknologi dan semikonduktor global, khususnya ketika India menempatkan hampir 20 peratus jurutera reka bentuk cip dunia.

“Jika kita dapat bekerjasama dengan universiti nombor satu di India dalam bidang kejuruteraan dan antara 20 terbaik dunia untuk kebolehpasaran graduan, pelajar kita boleh memperoleh akses kepada inovasi bertaraf dunia,” katanya.

Beliau ditemui pada majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara IIT Madras dan Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (Asem) di pusat pentadbiran negeri, di sini hari ini.

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari (tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara IIT Madras dan Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (Asem) di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pada 22 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Menerusi MoU itu, Asem dan IIT Madras akan melaksanakan dua program utama tahun depan iaitu Program Peningkatan Kemahiran Graduan yang menumpukan RISC-V dan seni bina komputer.

Satu lagi program ialah Laluan Akademik Bersama Universiti Selangor (Unisel), dengan Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik akan diperkasa semula bersama IIT Madras.

“Kerjasama ini juga membolehkan IIT Madras mengembangkan kepakarannya ke Asia Tenggara, dengan Selangor sebagai rakan utama,” katanya.

Sze Han menjelaskan kerjasama itu menghubungkan dua negara, dua institusi dan dua komuniti pemula inovasi, dengan pembangunan bakat kekal sebagai teras strategi pertumbuhan Selangor.

“Dalam bidang teknologi, pelaburan terbaik sentiasa pada manusia. Kita boleh bina infrastruktur cemerlang, tetapi tanpa minda berkemahiran, kita tidak dapat bergerak ke hadapan.

"Inilah sebabnya strategi Selangor sentiasa mendahulukan bakat. Menerusi kerjasama ini, Asem dan IIT Madras akan melatih generasi jurutera untuk mereka bentuk inovasi masa depan,” katanya.

Tambahnya, Asem melatih lebih 600 pelajar dan bekerjasama dengan 65 universiti dalam tempoh lebih setahun, selain menyasarkan untuk melatih 20,000 jurutera dalam tempoh sedekad akan datang.