SHAH ALAM, 12 FEB: Selangor akan menghantar 60 pelajar ke Indian Institute of Technology Madras (IIT Madras) pada Jun depan untuk mengikuti latihan intensif RISC-V, seni bina cip terbuka bagi menangani kekurangan bakat kejuruteraan berteknologi tinggi di negara ini.
Menurut EXCO Pelaburan Ng Sze Han, selepas latihan sebulan di India, mereka akan menjalani latihan industri tiga bulan bersama syarikat tempatan selain setiap pelajar akan menerima elaun RM10,000 yang dibayar secara berperingkat sepanjang program.

“Pendekatan ini adalah pelaburan strategik Kerajaan Negeri. Selepas tamat latihan, kebolehpasaran mereka hampir 100 peratus.
”Ia penting untuk memastikan rantaian nilai industri semikonduktor Malaysia terus kukuh,” katanya.
Program ini merupakan inisiatif bersama Kerajaan Negeri dan Persekutuan, dengan kedua-dua pihak menyediakan dana bagi membangunkan bakat semikonduktor berteknologi tinggi di Malaysia.
Sze Han berkata antara cabaran utama industri semikonduktor global kini ialah kekurangan bakat teknikal berkelas tinggi dan Selangor menumpukan kepada segmen front-end, terutamanya reka bentuk cip dan litar bersepadu (IC) yang memerlukan kepakaran tinggi.
Melalui Akademi Semikonduktor Termaju Malaysia (ASEM), Kerajaan Negeri melatih bakat berkemahiran tinggi. Tahun lalu, akademi berkenaan menghasilkan 600 graduan dengan purata gaji permulaan RM5,000.
“Kebanyakan graduan dihantar ke utara, hab semikonduktor negara untuk mengukuhkan rantaian nilai industri. Pelajar cemerlang pula kekal di Selangor bagi bekerja dalam bidang reka bentuk IC,” katanya.
Sze Han menegaskan Malaysia tidak kekurangan peluang atau syarikat teknologi tinggi, tetapi kekurangan bakat teknikal berpengalaman.
“Banyak syarikat asing berpuas hati dengan standard graduan Malaysia, ada menawarkan gaji permulaan RM8,000 ke atas. Matlamat kami: melatih 600 jurutera setahun dan 3,000 dalam lima tahun bagi memenuhi keperluan industri,” katanya.




