ad

Selangor-IIT Madras meterai kerjasama, perkukuh ekosistem semikonduktor

22 Okt 2025, 11:02 AM
Selangor-IIT Madras meterai kerjasama, perkukuh ekosistem semikonduktor

SHAH ALAM, 22 OKT: Selangor terus memperkukuh ekosistem semikonduktor dengan memeterai memorandum persefahaman (MoU) bersama Institut Teknologi India (IIT) Madras di sini, hari ini.

Dato' Menteri Besar berkata usaha itu kesinambungan Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2025, yang menonjolkan teknologi baharu, khususnya kecerdasan buatan (AI).

Menurut Dato' Seri Amirudin Shari, kerjasama melalui Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (Asem) turut menandakan perkembangan positif industri itu, dengan menumpukan dua program utama tahun depan.

Program itu ialah peningkatan kemahiran graduan yang menekankan seni bina komputer dan reka bentuk cip terbuka menggunakan RISC-V, iaitu set arahan komputer sumber terbuka pelbagai guna.

“Pendemokrasian maklumat untuk memacu inovasi ini akan berkait rapat dengan program kedua iaitu laluan akademik bersama Universiti Selangor (Unisel).

Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari pada majlis menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) antara IIT Madras dan Akademi Semikonduktor Lanjutan Malaysia (Asem) di bangunan pentadbiran Kerajaan Negeri pada 22 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

"Universiti itu kembali kepada asasnya sebagai universiti teknikal yang menumpukan industri,” katanya pada majlis menandatangani MoU di pusat pentadbiran Kerajaan Negeri.

Menerusi kerjasama itu, Fakulti Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik Unisel dan IIT Madras akan diperkasa, dengan pelajar menerima ijazah dari Unisel dan sijil daripada IIT Madras.

Pada masa sama, Amirudin menambah inisiatif tersebut bakal memanfaatkan 350 peserta pada tahun pertama, dengan jumlah lebih ramai dalam pengambilan seterusnya.

IIT Madras turut menyatakan minat menubuhkan hab penyelidikan global di Malaysia sebagai platform permulaan teknologi mendalam (deep-tech), termasuk melaksanakan projek inovasi bersama.

Amirudin menegaskan kerjasama itu penting untuk membantu graduan memenuhi pasaran kerja bernilai tinggi masa kini dengan tawaran gaji mencecah RM6,500 sebulan

“Ramai anak muda bergantung pada usaha ini untuk berjaya, kerana hanya melalui pekerjaan berkualiti tinggi mereka mampu tawarkan kualiti hidup lebih baik kepada keluarga,” katanya.