AMPANG JAYA, 30 MEI: Kerajaan Selangor memperuntuk RM6 juta bagi menjayakan program sumbangan korban kepada penduduk di 56 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) sempena Aidiladha tahun ini.
Dato’ Menteri Besar berkata agihan turut diperluas kepada pertubuhan bukan kerajaan terpilih serta badan beruniform bagi memastikan lebih ramai golongan memerlukan menerima bantuan.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, Pejabat Dato' Menteri Besar turut menambah 200 ekor lembu korban bagi memenuhi permintaan tinggi selain berkongsi keberkatan ibadah itu dengan masyarakat.

“Melalui program ini, mereka yang berkemampuan dapat berkongsi rezeki dengan golongan kurang bernasib baik supaya semua dapat merasai keberkatan ibadah korban.
“Pada masa sama, ia mengukuhkan hubungan antara masyarakat, pemimpin dan institusi yang terlibat dalam menjayakan program ini,” katanya ketika menghadiri Program Korban JKP Zon 12 di Dewan Orang Ramai Taman Sri Watan di sini.
Amirudin berkata program korban bukan sekadar membabitkan sumbangan haiwan korban, sebaliknya menjadi platform yang menghimpunkan masyarakat untuk bergotong-royong dan bersama-sama menjayakan ibadah berkenaan.
Beliau turut menzahirkan rasa syukur kerana umat Islam di negara ini masih dapat melaksanakan ibadah korban secara terbuka dan bebas berbanding sesetengah negara lain yang berdepan pelbagai kekangan.
“Ibadah korban sudah menjadi budaya dalam komuniti kita kerana ia bukan sahaja memenuhi tuntutan agama, malah mampu menghimpunkan masyarakat dalam suasana penuh kerjasama dan perpaduan.
“Kita perlu bersyukur kerana masih diberi ruang untuk mengimarahkan syiar Islam secara terbuka,” katanya.
Sebelum ini, EXCO pertanian berkata sebanyak 800 ekor lembu dan 600 ekor kambing disediakan membabitkan peruntukan RM6 juta, dengan jaminan ternakan berkualiti tinggi bagi memastikan agihan kepada penerima berjalan lancar dan memberi manfaat optimum.
Dato’ Ir Izham Hashim berkata langkah mitigasi turut diambil dengan menyediakan pembekal alternatif sebagai langkah persediaan sekiranya berlaku sebarang risiko terhadap ternakan sebelum proses penghantaran.











