Selangor perkukuh kerjasama serantau tarik pelaburan berkualiti tinggi

9 Jun 2026, 2:32 PM
Selangor perkukuh kerjasama serantau tarik pelaburan berkualiti tinggi
Selangor perkukuh kerjasama serantau tarik pelaburan berkualiti tinggi
Selangor perkukuh kerjasama serantau tarik pelaburan berkualiti tinggi

SHAH ALAM, 9 JUN: Selangor terus memperkukuh kerjasama ekonomi serantau bagi menarik lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi serta memperkasa daya tahan ekonomi negeri dalam menghadapi cabaran ekonomi global yang semakin mencabar.

Dato’ Menteri Besar berkata usaha itu diterjemahkan menerusi Mesyuarat Meja Bulat Pelaburan anjuran OCBC Singapore dan Invest Selangor di bawah siri One Connect: Connecting Businesses Across ASEAN – Unlocking Strategic Opportunities in Selangor.

Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari, sesi tersebut menghimpunkan syarikat berpangkalan di Singapura, perusahaan multinasional, pelabur berpotensi, institusi kewangan dan peneraju industri bagi meneroka peluang pelaburan serta kerjasama ekonomi di Selangor.

Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berucap ketika Mesyuarat Meja Bulat Pelaburan yang dianjurkan oleh OCBC Singapore dan Invest Selangor pada 9 Jun 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

“Kerjasama erat antara Kerajaan Selangor menerusi Invest Selangor dan OCBC mencerminkan komitmen bersama untuk memperkukuh hubungan ekonomi, memudah cara aliran pelaburan serta mewujudkan peluang baharu kepada perniagaan yang ingin berkembang di seluruh ASEAN.

“Sesi meja bulat ini menjadi platform penting untuk dialog konstruktif, perkongsian pengetahuan dan penglibatan antara perniagaan dan kerajaan (B2G), sekali gus membolehkan kami memahami dengan lebih mendalam keperluan pelabur, trend pasaran serta jangkaan industri,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Amirudin kini berada di Singapura bagi lawatan kerja rasmi selama tiga hari bermula semalam atas jemputan kerajaan republik itu di bawah program SR Nathan Fellowship.

Dato’ Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari bersama deligasi Selangor bergambar selepas Mesyuarat Meja Bulat Pelaburan anjuran OCBC Singapore dan Invest Selangor pada 9 Jun 2026. Foto Facebook Amirudin Shari

Beliau berkata Selangor terus menawarkan kelebihan daya saing sebagai destinasi pelaburan utama di ASEAN menerusi infrastruktur yang lengkap, jaringan perhubungan strategik, tenaga kerja berkemahiran tinggi, persekitaran pelaburan mesra pelabur serta ekosistem perindustrian yang kukuh.

Dalam sesi berkenaan, beliau turut mengetengahkan keutamaan ekonomi Selangor serta peluang pelaburan dalam sektor bernilai tinggi dan berorientasikan masa depan.

Antara sektor yang diberi tumpuan termasuk industri semikonduktor, kecerdasan buatan (AI), infrastruktur digital, pembuatan termaju dan ekonomi hijau.

Menurut Amirudin, perbincangan turut meneliti potensi kerjasama lebih luas antara Kerajaan Negeri, OCBC, syarikat serantau dan pelbagai pihak berkepentingan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan serta pengembangan perniagaan di peringkat ASEAN.

“Kami turut meneroka peluang untuk memperkukuh kerjasama antara Kerajaan Selangor, OCBC, syarikat serantau dan pihak berkepentingan pelaburan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi mampan, pengembangan perniagaan di peringkat serantau serta pelaburan berkualiti tinggi yang mampu mencipta nilai jangka panjang kepada Selangor dan ASEAN,” katanya.

Beliau berharap lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi dapat dibawa masuk ke Selangor bagi mewujudkan peluang pekerjaan bernilai tinggi, mempercepat inovasi, memperkukuh daya tahan ekonomi serta menjana kemakmuran berterusan kepada rakyat negeri itu.

Kategoriselangor

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.