ad

Isu taman anjing Bandar Utama: Jamaliah runding MBPJ cari solusi

22 Okt 2025, 8:19 AM
Isu taman anjing Bandar Utama: Jamaliah runding MBPJ cari solusi

PETALING JAYA, 22 OKT: Ahli Dewan Negeri (ADN) Bandar Utama, Jamaliah Jamaluddin akan mengadakan perbincangan dengan Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) berhubung notis arahan pengosongan taman anjing di Central Park.

Menurut beliau, pejabatnya menerima maklumat serta pelbagai maklum balas daripada penduduk dan komuniti setempat berkaitan notis tersebut.

Notis MBPJ bertarikh 7 Oktober itu mengarahkan tapak taman berkenaan dikosongkan dalam tempoh 14 hari.

“Pejabat saya mengambil maklum akan kepentingan taman anjing ini kepada penduduk sekitar.

“Ia berfungsi sebagai ruang riadah yang selamat kepada pemilik haiwan peliharaan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Jamaliah berkata, semua pandangan yang diterima akan dibawa ke perbincangan bersama pihak MBPJ memandangkan keputusan itu terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Ketika ini, pejabat saya sedang menyelaras komunikasi dengan MBPJ serta pihak berkaitan untuk meneliti penyelesaian terbaik yang mengambil kira kepentingan awam dan keperluan komuniti setempat,” katanya.

Tambahnya, beliau komited memastikan kesejahteraan penduduk sentiasa terpelihara dan akan memaklumkan perkembangan terkini berhubung isu berkenaan dari semasa ke semasa.