SHAH ALAM, 22 OKT: Dengan kos rawatan dan ubatnya yang semakin mahal, inisiatif Kerajaan Selangor menyediakan vaksin Influenza A secara percuma kepada pelajar disambut baik oleh orang ramai, khususnya golongan berpendapatan rendah.
Salah seorang kakitangan swasta Muhamad Shukri Saharuddin, 45, berkata langkah ini tepat pada masanya dalam usaha membendung penularan penyakit yang semakin meningkat ketika ini.
"Satu pengumuman yang mengejutkan tetapi ia sangat melegakan, lebih-lebih lagi bagi kami yang masih ada anak bersekolah.
"Seperti kita sedia maklum kos ubat Influenza agak mahal dan tidak ramai mampu untuk bayar, dengan pengumuman ini dapat meringankan beban ibu bapa," katanya kepada Media Selangor.

Manakala, kakitangan swasta dan juga seorang bapa Rozaini Zulkifli, 48, berpandangan usaha ini menunjukkan keprihatinan Kerajaan Negeri terhadap isu kesihatan pelajar.
"Ini merupakan satu inisiatif yang amat bagus, saya harap ramai ambil peluang ini dan pada masa sama mungkin jumlah penerima boleh ditambah lagi," katanya.

Sementara itu, salah seorang ahli perniagaan Dato' Shah R turut memuji insiatif Kerajaan Selangor yang amat menitik beratkan kesihatan rakyat dengan menyediakan vaksin percuma.
"Saya rasa program ini cukup bagus kerana Influenza ini kita tidak boleh pandang ringan, ia satu penyakit yang serius dan boleh merebak. Tahniah Kerajaan Negeri.
"Mungkin buat permulaan ini mereka sediakan secara bersasar kepada 12,500 pelajar, apabila ia berjaya nanti, saya yakin dos akan ditambah," katanya.
Salah seorang doktor dan juga ahli perniagaan Dr R Verrapan juga mengakui kagum dengan Kerajaan Negeri yang sentiasa ke hadapan dengan memberi dos vaksin secara percuma.
"Saya harap ibu bapa ambil peluang ini untuk bawa anak dapatkan vaksin kerana mereka mudah terdedah dengan ramai kontak di sekolah, dengan vaksin mungkin risiko dijangkiti rendah," katanya.
Baru-baru ini, Dato’ Menteri Besar mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi membiayai pemberian vaksin Influenza A kepada 12,500 pelajar di empat daerah berisiko tinggi iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.
Menurut Dato’ Seri Amirudin Shari program itu akan bermula seawal minggu depan dan akan diketuai oleh EXCO Kesihatan Awam, Jamaliah Jamaluddin.
Katanya, pelaksanaan ini merupakan langkah segera untuk mengekang penularan penyakit di sekolah selari dengan komitmen Kerajaan Negeri dalam menjaga kesihatan awam, khususnya golongan pelajar.