ad

Segerakan kelulusan kit ujian kendiri influenza – MPS

21 Okt 2025, 5:15 AM
Segerakan kelulusan kit ujian kendiri influenza – MPS

SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan digesa segera meluluskan penjualan kit ujian kendiri bagi mengesan jangkitan influenza di pasaran tempatan susulan peningkatan kes penyakit itu dalam kalangan masyarakat.

Presiden Persatuan Farmasi Malaysia (MPS), Profesor Amrahi Buang, berkata ketika ini tiada sebarang kit ujian kendiri influenza yang berdaftar dengan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA), lapor Sinar Harian.

“Kerajaan sewajarnya meneliti keberkesanan kit ujian kendiri yang digunakan di pasaran antarabangsa memandangkan Malaysia kini berdepan peningkatan jangkitan influenza.

“Keperluan masyarakat terhadap kit ujian kendiri amat relevan kerana mereka sudah berpengalaman menjaga diri sendiri seperti semasa pandemik Covid-19,” katanya.

Menurutnya, kemudahan kit berkenaan penting bagi mempercepat pengesanan awal penularan Influenza A, yang kini semakin meluas hingga mengakibatkan kematian seorang murid di Sekolah Kebangsaan Meru, Klang baru-baru ini.

“Kelewatan mengesan jangkitan menyebabkan penularan lebih luas sehingga hospital kerajaan, khususnya jabatan kecemasan, dibanjiri pesakit,” katanya.

Terdahulu, Kerajaan Negeri mengumumkan peruntukan RM1 juta bagi langkah pencegahan wabak itu termasuk pemberian vaksin influenza percuma kepada 12,500 pelajar di empat daerah iaitu Hulu Langat, Gombak, Klang dan Petaling.