SHAH ALAM, 22 OKT: Selangor dijangka mengalami hujan pada tahap sederhana hingga lebat bermula November ini, menurut Pusat Adaptasi Perubahan Iklim Selangor (SCAC).
SCAC menasihatkan orang ramai agar sentiasa berwaspada serta peka terhadap perubahan cuaca dan pengumuman rasmi daripada agensi kerajaan seperti Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) serta Jabatan Kerja Raya (JKR).
“Penduduk perlu memberi perhatian terhadap kemungkinan berlakunya hujan berterusan atau hujan lebat yang boleh berlaku serentak dengan paras air laut tinggi,” menurut kenyataan SCAC kepada Media Selangor.
Agensi itu turut mengingatkan penduduk di kawasan rendah dan berhampiran pantai agar mengambil maklum tarikh kejadian air pasang besar serta memastikan langkah keselamatan sentiasa diutamakan.
Dalam masa sama, SCAC menekankan pentingnya menjaga kebersihan persekitaran dan memastikan sistem saliran berfungsi baik bagi mengelakkan banjir kilat.
“Sekiranya terdapat longkang atau sistem saliran tersumbat, orang ramai digalakkan melaporkan kepada pihak berkuasa tempatan untuk tindakan segera,” katanya.
SCAC turut menyarankan penduduk menyediakan kit keselamatan asas, menyimpan dokumen penting di tempat selamat serta memastikan bekalan makanan dan ubat-ubatan mencukupi bagi menghadapi sebarang kemungkinan semasa musim hujan.