SHAH ALAM, 9 NOV: Sebanyak lima pusat pemindahan sementara (PPS) dibuka di dua daerah di Selangor, dengan empat PPS di Kuala Selangor manakala satu lagi di Shah Alam.
Portal Info Banjir Jabatan Kebajikan Masyarakat memaklumkan setakat jam 11 pagi itu, semua PPS itu menempatkan 632 mangsa daripada 177 keluarga.
Sekolah Kebangsaan Dato’ Maharaja Lela mencatatkan jumlah mangsa tertinggi iaitu 301 orang, diikuti Sekolah Kebangsaan Parit Mahang (137), Sekolah Agama Batu 8 Ijok (77) dan Sekolah Kebangsaan Jaya Setia (21).
Sementara itu, PPS Dewan Siantan Kampung Melayu Subang, Seksyen U6, Shah Alam menempatkan 47 mangsa daripada 11 keluarga.
Terdahulu, fenomena air pasang besar dengan paras laut dijangka mencecah 5.2 meter diramal berlaku di Pelabuhan Klang bermula 7 hingga 11 November ini.
Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Klang memaklumkan paras tertinggi dijangka direkodkan pada jam 5.02 pagi 8 November (Ahad), sekali gus berada dalam kategori amaran.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia) menjangkakan hujan ekstrem dengan taburan melebihi 100 milimeter (mm) berterusan setiap petang di Lembah Klang sekali gus meningkatkan risiko banjir kilat di kawasan terjejas.
Ketua Pengarahnya Dr Mohd Hisham Mohd Anip berkata hujan ekstrem direkodkan sejak 17 Oktober lalu dengan taburan 122mm, diikuti 130mm pada 21 Oktober dan 118mm semalam, masing-masing dalam tempoh dua hingga tiga jam.






