SHAH ALAM, 10 NOV: Empat lagi mangsa kejadian kepala air di Sungai Pertak, Kuala Kubu Bharu ditemukan lemas pagi ini, menjadikan lima daripada lapan mangsa yang dihanyutkan arus sudah ditemukan setakat ini.
Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Ashrul Riezal Asbar berkata tiga mangsa ditemukan tersekat di kawasan Jambatan Senget berhampiran Camp Site Sungai Luit pada jam 9.20 pagi, lapor Berita Harian.
"Seorang lagi mangsa ditemukan berhampiran lokasi sama pada jam 10.20 pagi, kira-kira 1.2 kilometer dari tempat kejadian.
"Semua mangsa kini dalam proses dibawa keluar oleh anggota pasukan mencari dan menyelamat (SAR)," katanya.
Terdahulu, seorang lelaki tempatan berusia 36 tahun ditemukan meninggal dunia di kawasan Jambatan Pertak kira-kira jam 1.30 pagi tadi.
Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian kira-kira 5.55 petang semalam, lapan mangsa terdiri daripada seorang warga Yaman, seorang warga tempatan, seorang warga Sri Lanka, seorang warga Nepal dan empat warga India dilaporkan hilang selepas dihanyutkan arus.
Operasi SAR diteruskan pagi ini, dengan pencarian dibahagikan kepada empat sektor di sekitar kawasan kejadian bagi mengesan mangsa yang masih hilang.








