ad

TMS 2025: Tourism Selangor perluas jaringan strategik di Brunei

21 Okt 2025, 9:46 AM
TMS 2025: Tourism Selangor perluas jaringan strategik di Brunei

SHAH ALAM, 21 OKT: Tourism Selangor memperkenalkan kepelbagaian produk pelancongan negeri kepada 15 agensi pelancongan terkemuka Brunei dalam satu sesi jaringan yang diadakan di Bandar Seri Begawan, semalam.

Program itu dijalankan dengan kerjasama Tourism Malaysia Brunei, bersempena kempen Tahun Melawat Selangor 2025 (TMS 2025), sekali gus membuka ruang baharu dalam memperkukuh hubungan pelancongan dua hala.

Tourism Selangor memaklumkan, sesi berkenaan turut membincangkan hubungan strategik, aktiviti promosi serta peluang kerjasama yang dapat memperkasakan industri pelancongan dan perdagangan antara kedua-dua pihak.

“Sesi jaringan ini memperluas lagi keberadaan Selangor di rantau ini, selain mengukuhkan hubungan dengan pemegang taruh pelancongan di Brunei.

“Kejayaan program ini turut membuka peluang rakan kongsi baharu dalam kalangan pemain industri pelancongan Brunei, di samping meningkatkan penglibatan Selangor di peringkat Asean,” katanya menerusi hantaran di Facebook.

Sebelum ini, kempen Tahun Melawat Selangor 2025 dilancarkan oleh Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Amirudin Shari di Setia City Park, Setia Alam.

Dengan tema “Surprising Selangor”, kempen tersebut merupakan inisiatif Kerajaan Negeri melalui Tourism Selangor bagi mempromosikan sektor pelancongan negeri kepada pelancong domestik dan antarabangsa.