KULIM, 20 OKT: Sebanyak 22 orang awam cedera termasuk seorang lelaki mengalami kecederaan serius pada dahi dalam insiden letupan akibat pembakaran mercun di Paya Besar dekat sini, tengah malam tadi.
Ketua Polis Daerah Kulim Supt Zulkifli Azizan berkata kejadian berlaku pada 12.45 tengah malam dan disedari anggota membuat rondaan pencegahan jenayah yang melihat kesesakan lalu lintas dengan kehadiran orang ramai di tepi jalan Paya Besar.
”Anggota terlibat telah meminta bantuan dan apabila pasukan bantuan sampai di tempat kejadian, didapati terdapat ramai yang cedera dan dimaklumkan disebabkan oleh mercun yang dibakar meletup.
“Sebanyak 22 mangsa terlibat dengan seorang mengalami luka sedalam lima sentimeter di dahi manakala yang lain luka kecil akibat terkena belerang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Zulkifli berkata lalu lintas kembali terkawal dan orang ramai bersurai selepas dua ambulans membawa mangsa ke Hospital Kulim.
-- BERNAMA