Isu mercun: Perketat kawalan masa, penguatkuasaan demi keselamatan

27 Mac 2026, 3:00 AM
Isu mercun: Perketat kawalan masa, penguatkuasaan demi keselamatan
Isu mercun: Perketat kawalan masa, penguatkuasaan demi keselamatan
Isu mercun: Perketat kawalan masa, penguatkuasaan demi keselamatan

SHAH ALAM, 27 MAC: Orang ramai menggesa penguatkuasaan serta kawalan masa bermain mercun dan bunga api diperketat bagi memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sepanjang musim perayaan.

Walaupun aktiviti itu terus menjadi sebahagian tradisi yang menceriakan suasana, penggunaannya perlu dikawal agar tidak mengganggu komuniti, khususnya pada waktu malam.

Seorang pekerja swasta, Muhammad Al Hafiz Abdul Rahman, 39, berkata penetapan had masa bermain mercun perlu diberi perhatian agar aktiviti itu kekal selamat tanpa menjejaskan kemeriahan sambutan.

"Mercun dan bunga api memang sinonim setiap kali tibanya musim perayaan tetapi cara penggunaannya perlu berhemah dan tidak memberi kesan buruk kepada orang sekeliling.

"Saya cadangkan kalau boleh hadkan masa bermain cukup sekadar sehingga jam 12 tengah malam sahaja. Kasihan pada ibu bapa yang ada anak kecil atau warga emas, boleh mengganggu tidur dan emosi mereka," katanya kepada Media Selangor.

Kakitangan swasta, Muhammad Al Hafiz Abdul Rahman, 39. Foto IJLAH MUNIRAH/MEDIA SELANGOR.

Sementara itu, Nor Ashikin Mohd Zakaria, 39, berkata kawalan di peringkat komuniti juga perlu diperkasakan, seperti yang dilaksanakan di kawasan kejiranannya melalui rukun tetangga.

"Macam di tempat saya memang sudah ditetapkan hanya sehingga jam 11 malam. Ibu bapa pun perlu turun padang pantau anak bermain, jangan harapkan pihak berkuasa sahaja.

"Memang perlu bermain mercun atau bunga api apatah lagi ketika perayaan. Seronok keluarga dan saudara-mara berkumpul, cuma perlu berpada-pada dan elakkan mercun yang terlalu agresif," katanya.

Nor Ashikin Mohd Zakaria, 39, ditemu bual mengenai isu mercun ketika tinjauan di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 26 Mac 2026. Foto IJLAH MUNIRAH/MEDIA SELANGOR.

Bagi seorang guru, Zety Zana Musthafa Kamal, 52, disiplin dan sikap saling menghormati dalam komuniti amat penting bagi memastikan aktiviti tersebut tidak melampaui batas.

"Ya, memang perlu ada kawalan dari segi waktu (main mercun). Ketua kampung atau pihak surau mungkin boleh memainkan peranan menasihati penduduk supaya tidak berlebihan.

"Polis pun perlu kerap buat rondaan terutama di lokasi 'panas' atau kerap main mercun," katanya.

Zety Zana Musthafa Kamal, 52, yang juga seorang guru ditemu bual berkenaan isu mercun ketika tinjauan di Kompleks PKNS, Shah Alam pada 26 Mac 2026. Foto IJLAH MUNIRAH/MEDIA SELANGOR.

Sementara itu, seorang remaja, Muhammad Harith Ahmad Shahrani, 18, meluahkan kebimbangan terhadap penjualan mercun yang disifatkan terlalu mudah diakses.

"Banyak tempat jual jadi mudah untuk sesiapa sahaja beli termasuk kanak-kanak. Harap polis buat pemeriksaan permit.

"Bimbang apabila terlalu bebas risiko kemalangan atau kecederaan serius meningkat," katanya.

Baru-baru ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mengarahkan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kerajaan Tempatan menyemak semula prosedur operasi standard (SOP) gerai jualan bunga api sementara di seluruh negara.

Arahan itu susulan beberapa insiden kebakaran gerai jualan bunga api dilaporkan di beberapa lokasi termasuk Georgetown, Pulau Pinang dan Johor Bahru yang mengakibatkan kerosakan harta benda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.