ad

Cuti singkat tak perlu jauh, Kota Damansara tawar pelbagai aktiviti menarik

20 Okt 2025, 2:03 AM
Cuti singkat tak perlu jauh, Kota Damansara tawar pelbagai aktiviti menarik
Cuti singkat tak perlu jauh, Kota Damansara tawar pelbagai aktiviti menarik
Cuti singkat tak perlu jauh, Kota Damansara tawar pelbagai aktiviti menarik

SHAH ALAM, 20 OKT: Di tengah kesibukan bandar, ramai yang mengimpikan percutian singkat untuk ‘healing’ tanpa perlu keluar jauh dari kota.

Bagi mereka yang tinggal di Lembah Klang, Kota Damansara kini muncul sebagai destinasi pelancongan dalam bandar yang ideal, mesra keluarga, akses mudah dan sarat dengan tarikan.

Menurut Ahli Dewan Negeri (ADN) Kota Damansara Izuan Kasim, kawasan ini sesuai untuk percutian singkat kerana lokasinya di antara Shah Alam dan Kuala Lumpur.

“Kota Damansara ini terletak di antara Shah Alam dan Kuala Lumpur, sangat sesuai untuk mereka ambil percutian singkat.

"Kadang-kadang setengah hari pun cukup. Tak perlu tidur semalam pun,” katanya dalam program Skop siaran 6 Oktober 2025.

Permata hijau di tengah kota

Antara tarikan utama di Kota Damansara adalah Hutan Simpan Komuniti dengan lokasi mendaki yang semakin terkenal dalam kalangan warga kota.

Terkenal dengan Denai Tiga Puteri, ia menawarkan pengalaman mendaki ringan yang sesuai untuk seisi keluarga.

“Denai Tiga Puteri ni bukan ekstrem, sesuai untuk pendaki baharu dan keluarga. Setiap hujung minggu penuh orang.

"Hutan ini dijaga oleh komuniti setempat bersama Jabatan Perhutanan dan sering menjadi lokasi program riadah serta komuniti alam sekitar,” ujar Izuan.

Jualan 'Car Boot' Kota Damansara tarikan anak muda

Setiap pagi Ahad, jualan 'car boot' Kota Damansara menjadi tumpuan ramai khususnya anak muda yang meminati barangan bundle (terpakai), antik dan retro.

Jelas Izuan, Lebih 400 peniaga mengambil bahagian menjadikan kawasan ini meriah dengan suasana santai dan unik.

Pasar ini turut menjadi medan ekonomi belia dan ruang pertemuan komuniti bandar untuk membeli, berniaga dan berinteraksi secara santai.

Makan sambil tengok kapal terbang

Satu lagi pengalaman unik di Kota Damansara iaitu menikmati makanan sambil menyaksikan kapal terbang berlepas dan mendarat dari Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah di Subang.

Restoran Mokde terletak berhampiran Kampung Melayu Subang, menjadi pilihan pengunjung yang mahukan kelainan ketika menjamu selera.

“Kedai makan tepi lapangan terbang, sambil makan boleh tengok kapal terbang mendarat depan mata. Nak tengok percuma, makan je bayar!” ujar Izuan.

Dengan pelbagai tarikan yang tersedia dalam radius singkat, Kota Damansara bukan sahaja sesuai untuk pelancong luar malah menjadi ruang rehat ideal buat warga kotanya sendiri.