SHAH ALAM, 11 OKT: Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) meramalkan hujan lebat dan ribut petir melanda hampir semua derah di Selangor iaitu Sabak Bernam, Kuala Selangor, Klang, Gombak, Petaling, Kuala Langat, Hulu Langat dan Sepang hingga 9 pagi ini.
Amaran sama dikeluarkan melibatkan seluruh Kuala Lumpur, Putrajaya, Melaka selain beberapa kawasan di Kelantan, Terengganu, Pahang, Negeri Sembilan, Johor dan Sabah.
MetMalaysia juga meramalkan hujan lebat dan ribut petir melanda beberapa daerah di Perak dan Pahang.
Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda hujan lebat dengan intensiti melebihi 20 milimeter sejam yang dijangka berterusan lebih sejam.
Amaran ini adalah amaran jangka pendek yang sah selama maksimum enam jam bagi satu keluaran.
Orang awam dinasihatkan agar sentiasa merujuk laman sesawang rasmi MetMalaysia di www.met.gov.my, mengikuti media sosial mereka serta memuat turun aplikasi myCuaca untuk mendapatkan maklumat terkini dan tepat.
