Ribut petir diramal landa Perak, Selangor, KL dan Sabah hingga 9 malam

8 Feb 2026, 11:30 AM
Ribut petir diramal landa Perak, Selangor, KL dan Sabah hingga 9 malam

SHAH ALAM, 8 FEB: Ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dijangka melanda beberapa kawasan di Perak, Selangor, Kuala Lumpur dan Sabah sehingga 9 malam ini.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) memaklumkan kawasan terlibat di Perak meliputi Kuala Kangsar, Manjung, Kinta, Perak Tengah, Kampar, Bagan Datuk dan Hilir Perak.

Di Selangor, cuaca buruk dijangka berlaku di Sabak Bernam, Kuala Selangor, Hulu Selangor, Klang, Gombak dan Petaling, manakala Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur turut berada dalam senarai amaran.

Bagi Sabah, kawasan terjejas melibatkan Pantai Barat (Ranau), Tawau (Lahad Datu) serta Sandakan, termasuk Telupid dan Kinabatangan.

Menurut MetMalaysia, amaran ribut petir dikeluarkan apabila terdapat tanda-tanda menunjukkan ribut petir dengan intensiti hujan melebihi 20 milimeter sejam yang hampir atau dijangka berlaku melebihi sejam.

MetMalaysia menjelaskan bahawa amaran ribut petir merupakan amaran jangka pendek yang sah untuk tempoh tidak melebihi enam jam bagi setiap keluaran.