SHAH ALAM, 18 OKT: Hampir RM9 juta diperuntuk Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) bagi menaik taraf kemudahan sukan di dua lokasi utama menjelang Sukan Malaysia (SUKMA) 2026.
Datuk Bandarnya Dato' Abd Hamid Hussain berkata, peruntukan berkenaan untuk menaik taraf kemudahan di Stadium Hoki Pandamaran dan Stadium Hoki Padang Sultan Suleiman.
"RM6.65 juta bagi menaik taraf kemudahan infrastruktur, lampu limpah dan papan skor digital di Stadium Hoki Pandamaran dan RM2.27 juta naik taraf landskap, kemudahan rekreasi serta pemasangan lampu limpah dan papan skor LED di Stadium Hoki Padang Sultan Suleiman.
"Bagi penganjuran SUKMA 2026, Klang menjadi antara lokasi penting bagi beberapa acara utama. Langkah ini bukan sekadar memenuhi piawaian penganjuran peringkat kebangsaan, tetapi turut memperkukuh imej Klang sebagai hab sukan serantau dan lokasi latihan bertaraf antarabangsa," katanya.
Menurut beliau, bajet berkenaan disalurkan daripada Kumpulan Wang Amanah MBDK, sejajar dengan usaha menjadikan acara sukan mega sebagai pemangkin pembangunan ekonomi setempat melalui sektor pelancongan dan perkhidmatan.
Terdahulu, Mesyuarat Khas Bajet 2026 MBDK telah meluluskan perbelanjaan RM440 juta meliputi RM330 juta Belanja Mengurus dan RM110 juta Belanja Pembangunan.
SUKMA Selangor 2026 dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos, diikuti Para SUKMA dari 5 hingga 14 September. Upacara perasmian akan diadakan di Litar Antarabangsa Sepang (SIC) manakala penutup di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ).
Edisi kali ini menyaksikan 474 acara dalam 37 sukan dipertandingkan, termasuk 30 sukan teras seperti ragbi serta tujuh sukan tambahan antaranya e-sukan, kriket dan silambam.
Sembilan daerah dan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negeri menjadi tuan rumah, kecuali acara berbasikal trek yang dijalankan di Velodrom Nasional, Nilai, Negeri Sembilan.