ad

‘Kami tak dilupakan’, penduduk Bukit Naga hargai bantuan Kerajaan Negeri

18 Okt 2025, 7:53 AM
‘Kami tak dilupakan’, penduduk Bukit Naga hargai bantuan Kerajaan Negeri
‘Kami tak dilupakan’, penduduk Bukit Naga hargai bantuan Kerajaan Negeri
‘Kami tak dilupakan’, penduduk Bukit Naga hargai bantuan Kerajaan Negeri

SHAH ALAM, 18 OKT: “Walaupun banjir dah lama berlalu, mereka tetap ingat kami.” Itu luahan Norizan Mohd Yusof, 49, antara 175 keluarga mangsa banjir Kampung Bukit Naga yang menerima bantuan tunai RM300 daripada Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI hari ini.

Beliau berkata, bantuan itu amat bermakna memandangkan kejadian banjir pada 20 Jun lalu menyebabkan banyak kerosakan harta benda dan menjejaskan kehidupan penduduk.

“Kerajaan Negeri dan MBI tak pernah abaikan kami. Walaupun banjir dah lama berlaku, mereka tetap datang hulur bantuan. Terima kasih sangat,” katanya ketika ditemui di Dewan Tulip MBSA di sini.

Mangsa banjir menunjukkan sumbangan yang diterima selepas majlis penyerahan bantuan bencana banjir kawasan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Naga di Dewan Tulip MBSA Bukit Bukit Naga, Shah Alam pada 18 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR

Bagi Mohamad Noor Roslee Saharudin, 53, bantuan tersebut memberi kelegaan kepada keluarga yang masih membaiki kediaman masing-masing.

“Saya bersyukur dan berterima kasih. Harap selepas ini tiada lagi banjir selepas beberapa projek diumum untuk atasi masalah bah di kawasan ini,” katanya.

Sementara itu, warga emas K Subramaniam, 74, meluahkan rasa terharu dan dihargai dengan perhatian berterusan daripada pihak Kerajaan Negeri.

“Saya amat berpuas hati. Terima kasih Yayasan MBI dan Kerajaan Negeri. Dengan bantuan ini kami rasa tidak keseorangan,” katanya.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI, Mohd Azri Zainal Nor, berkata pihaknya memperuntuk RM52,500 bagi menyalurkan bantuan kepada mangsa dengan setiap keluarga menerima RM300.

“Banjir yang melanda pada Jun lalu mengakibatkan banyak kerosakan harta benda. Diharap bantuan ini dapat meringankan beban dan membantu kelangsungan hidup penduduk,” katanya.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor berucap sempena majlis penyerahan bantuan bencana banjir kawasan Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) Kampung Bukit Naga di Dewan Tulip MBSA Bukit Bukit Naga, Shah Alam pada 18 Oktober 2025. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR