HULU LANGAT, 18 OKT: Pelbagai insiatif berimpak tinggi termasuk penyelesaian hak milik strata akan diteruskan tahun depan ke arah memperkukuh agenda perumahan inklusif dan komuniti berdaya huni di Selangor, kata EXCO perumahan.
Datuk Borhan Aman Shah berkata di bawah seliaan Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), pelbagai projek fizikal dan sosial berimpak tinggi akan dilaksanakan bagi memastikan kesejahteraan rakyat terus diperkasa.
Jelasnya, selain penyelesaian hak milik strata, ia termasuk pembangunan ruang komuniti hijau di kawasan pangsapuri serta inisiatif memperkasa komuniti melalui aktiviti sosial seperti Program Rewang Komuniti Strata.

“Tahun 2026 bakal menjadi tahun yang signifikan dalam memperkukuhkan agenda perumahan inklusif dan komuniti berdaya huni dengan pelaksanaan pelbagai projek fizikal dan sosial berimpak tinggi di bawah seliaan LPHS.
“Dalam Belanjawan Selangor 2026 yang dijangka dibentangkan 14 November ini Kerajaan Negeri akan terus memperkukuhkan dasar dan polisi bagi memperkasa komuniti perumahan, khususnya komuniti strata di Selangor melalui pelbagai inisiatif.
“Ini termasuklah Skim Smart Sewa, Program Residensi Rakyat (PRR), Dana Strata Selangor (DSS) serta program pemberdayaan komuniti seperti C-SMART dan Skim CERIA bagi memastikan setiap lapisan masyarakat menikmati kehidupan yang lebih sejahtera, selamat dan berdaya huni,” katanya.
Beliau berucap merasmikan Program Rewang Komuniti Strata di Pangsapuri Cempaka (Council Homes), Seksyen 16, Bandar Baru Bangi di sini, hari ini.

Pada majlis itu turut disampaikan 105 bakul makanan kepada penduduk memerlukan selain sumbangan RM10,000 oleh Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd untuk tujuan pembaikan bumbung di Surau Ar-Riduan kawasan berkenaan.
Selain itu, pada majlis berkenaan Dana Strata Selangor (DSS) berjumlah RM954,436.22 turut disalurkan Kerajaan Negeri kepada pihak Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI bagi penyelesaian isu hakmilik strata di Flat Desa Serdang dan Apartment Flora Taman Impian Ehsan melibatkan kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Seri Kembangan dan DUN Sungai Ramal.
Lebih 3,000 penduduk menyertai program berkenaan dengan pelbagai pengisian termasuk pemeriksaan kesihatan secara percuma, kaunter maklumat Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), aktiviti sukan rakyat selain demonstrasi memadam kebakaran.
Malam ini program diteruskan dengan acara makan malam dengan juadah yang dihidangkan disediakan secara rewang oleh penduduk setempat melibatkan menu utama gulai kari daging umbut batang pisang, kambing Morocco, ayam goreng berempah dan acar jelatah.
