ad

SUKMA 2026 angkat kabaddi, sukan warisan kini bernafas baharu di Selangor

20 Okt 2025, 12:00 AM
SUKMA 2026 angkat kabaddi, sukan warisan kini bernafas baharu di Selangor

Di bawah terik mentari, langkah para pemain di tengah padang berpadu dengan gema suara yang tidak putus-putus, “kabaddi, kabaddi, kabaddi.”

Setiap sebutan bukan sekadar lafaz, tetapi lambang perjuangan dan ketahanan diri. Begitulah denyut nadi sukan kabaddi, permainan warisan dari India yang kini melangkah megah ke gelanggang dunia.

Dikenali sebagai "Sadugudu" di Tamil Nadu, kabaddi menempuh perjalanan panjang sebelum diiktiraf dunia.

Dahulu sekadar hiburan rakyat, kini ia berdiri sebaris dengan sukan antarabangsa selepas diperkenal di Sukan Olimpik Berlin pada 1936 dan secara rasmi dimasukkan dalam Sukan Asia pada 1990.

Kabaddi unik kerana tidak memerlukan sebarang peralatan khas. Cukup sekadar kawasan tanah yang dibahagikan kepada dua bahagian.

Dari India ke Bangladesh, Iran hingga ke Eropah, semangat kabaddi terus menyala di seluruh dunia. Malaysia turut menjadi sebahagian daripada kebangkitan itu.

Di tanah air, kebangkitan kabaddi dipacu oleh jurulatih berpengalaman, Balamurugan Rengasami Naidu, 47, antara tonggak utama yang memperjuang sukan ini.

“Dalam satu perlawanan kabaddi, dua pasukan akan bertanding dengan tujuh pemain utama dan lima pemain simpanan.

“Seorang pemain, dipanggil raider, akan masuk ke kawasan lawan untuk menyentuh pemain dan kembali ke kawasan sendiri tanpa disentuh,” katanya kepada Media Selangor.

Menariknya, sepanjang serangan, raider perlu menyebut “kabaddi, kabaddi” tanpa henti yang juga simbol kekuatan nafas dan tumpuan mental.

Jika berjaya menyentuh lawan dan kembali ke zon sendiri, pasukannya memperoleh mata. Namun, jika tertangkap, mata pula diberi kepada pasukan lawan.

Tempoh permainan berlangsung selama 40 minit. Ia dibahagikan kepada dua separuh masa, masing-masing 20 minit dengan rehat lima minit di antara kedua-duanya.

Balamurugan turut menjelaskan, raider boleh mendapat satu mata tambahan apabila berjaya melepasi “garisan bonus” ketika pasukan lawan mempunyai enam pemain atau lebih.

Tanpa alat, tapi sarat nilai

Kabaddi unik kerana tidak memerlukan sebarang peralatan khas. Cukup sekadar kawasan tanah yang dibahagikan kepada dua bahagian.

“Kabaddi menguji ketahanan fizikal, kelajuan, strategi dan kerjasama pasukan. Ia juga gabungan pelbagai elemen sukan seperti seni mempertahankan diri, ragbi, sepak takraw dan gusti,” katanya dengan bangga.

Sukan kabaddi diluluskan sebagai sukan tambahan rasmi dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

Di Malaysia, sukan ini dikendalikan oleh Persekutuan Kabaddi Malaysia (KFM). Dahulu lebih sinonim dengan masyarakat India, kini ia semakin diterima dan diminati pelbagai kaum.

Malaysia turut menyertai kejohanan antarabangsa seperti Sukan Asia dan Kejohanan Kabaddi Asia Tenggara, selain menganjurkan pertandingan di peringkat negeri, universiti dan kebangsaan.

Kemuncak perjuangan ini terserlah apabila kabaddi diluluskan sebagai sukan tambahan rasmi dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 di Selangor.

Pengiktirafan itu menjadi detik bersejarah yang membuka lembaran baharu buat sukan ini.

“Kemasukan kabaddi dalam SUKMA merupakan satu pencapaian penting. Ia meningkatkan nilai sukan ini di mata masyarakat.

“Ramai ibu bapa kini lebih terbuka membenarkan anak-anak menyertainya kerana mendapat pengiktirafan rasmi negara,” ujar Balamurugan.

Semangat baharu

Pengiktirafan ini bukan sekadar simbol, tetapi membuka ruang masa depan buat pemain muda. Penyertaan dalam kejohanan kebangsaan memberi laluan kepada pengiktirafan kerajaan, bantuan kewangan, biasiswa sukan dan peluang kerjaya.

“Kabaddi bukan hanya menguatkan tubuh, tetapi juga membentuk disiplin dan keyakinan diri,” tegasnya.

Kini, kelas latihan kendalian Balamurugan dijalankan di empat negeri dengan sambutan amat menggalakkan. Beberapa sekolah turut memperkenalkan latihan kabaddi, bukan sahaja kepada pelajar India, tetapi juga kaum lain. Ia bukti bahawa sukan ini kini milik semua.

Sebagai langkah ke hadapan, beliau menyeru kerajaan agar menjadikan permainan warisan ini sebagai sukan rasmi di sekolah dan universiti.

Beliau turut mencadangkan penubuhan akademi kabaddi negeri, pemberian biasiswa sukan, latihan profesional serta liputan media yang lebih meluas.

“Jika diberi sokongan berterusan, saya yakin kabaddi mampu menjadi sukan pilihan belia dan berdiri sama tinggi dengan sukan-sukan arus perdana,” katanya penuh yakin.