SUKMA 2026: Larian obor buka tirai di Shah Alam, semarak kebersamaan ke seluruh daerah

10 Mei 2026, 4:31 AM
SUKMA 2026: Larian obor buka tirai di Shah Alam, semarak kebersamaan ke seluruh daerah
SUKMA 2026: Larian obor buka tirai di Shah Alam, semarak kebersamaan ke seluruh daerah
SUKMA 2026: Larian obor buka tirai di Shah Alam, semarak kebersamaan ke seluruh daerah

SHAH ALAM, 10 MEI: Siri pertama Jelajah Larian Obor Sukan Malaysia (SUKMA) ke-22 dan PARA SUKMA 2026 membuka tirainya di Dataran Kemerdekaan Shah Alam hari ini, sebagai simbol semangat kebersamaan menjelang temasya sukan terbesar negara di Selangor pada Ogos depan.

EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata jelajah berkenaan menjadi medium menyemarakkan semangat kesukanan selain mengeratkan hubungan masyarakat tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.

"Kita mahu pastikan apabila turun ke setiap pihak berkuasa tempatan (PBT), kita dapat libatkan seluruh masyarakat tanpa mengira agama, bangsa dan latar belakang.

"Malah di peringkat Ahli Dewan Negeri juga kita turut melibatkan wakil pembangkang kerana semangat SUKMA ini adalah semangat kebersamaan.

"Kita tidak mengira perbezaan bangsa, agama dan fahaman politik kerana kita mahu semua pihak terlibat dalam acara peringkat negeri dan kebangsaan ini," katanya.

Beliau berkata demikian pada program Jelajah Larian Obor SUKMA ke-22 dan PARA SUKMA 2026 siri pertama peringkat Majlis Bandaraya Shah Alam di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, hari ini.

Menurut beliau, Klang akan menjadi destinasi kedua jelajah berkenaan sebelum diteruskan ke Kuala Selangor, Sabak Bernam, Hulu Selangor, Selayang, Ampang Jaya, Kajang, Subang Jaya, Petaling Jaya dan Kuala Langat sebelum berakhir di Sepang pada 9 Ogos depan.

"Antara lokasi terlibat ialah Laman Seni Safarie Klang pada 24 Mei, Dataran Melawati Kuala Selangor (6 Jun), Dataran Bagan Terap Sabak Bernam (13 Jun), Dataran Warisan Kuala Kubu Bharu (21 Jun) dan Stadium Majlis Perbandaran Selayang (27 Jun).

“Taman Melawati Ampang Jaya (5 Julai), Pekan Kajang (12 Julai), Arena MPSJ USJ 5 (19 Julai), Stesen LRT Taman Jaya Petaling Jaya (26 Julai), Pantai Batu Laut Kuala Langat (2 Ogos) dan Depulse Cyberjaya, Sepang pada 9 Ogos," ujar beliau.

Dalam perkembangan sama, Mohd Najwan berkata Selangor komited memastikan penganjuran SUKMA 2026 berjalan lancar walaupun dilaksanakan dalam keadaan kawalan perbelanjaan yang ketat.

Katanya, fokus utama Kerajaan Negeri ketika ini adalah memastikan kebajikan serta persediaan atlet terus diberi keutamaan supaya mereka dapat beraksi pada tahap terbaik sepanjang temasya berlangsung.

"Kita mahu pastikan atlet mendapat sokongan dan persediaan terbaik kerana mereka bukan sahaja membawa nama negeri, malah berpotensi mewakili negara di peringkat lebih tinggi selepas ini," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.