ad

Sukan kabaddi disenarai dalam SUKMA 2026, hadiah istimewa untuk komuniti India

21 Okt 2025, 6:51 AM
Sukan kabaddi disenarai dalam SUKMA 2026, hadiah istimewa untuk komuniti India

KUALA LANGAT, 21 OKT: Keputusan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) untuk memperkenalkan sukan kabaddi pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026, disifatkan sebagai hadiah paling istimewa kepada masyarakat India.

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Jenjarom M. Murgu Saravanan berkata pihaknya bercita-cita menghantar seorang wakil dari sekolah berkenaan dalam acara kabaddi SUKMA pada masa akan datang.

“Kita buat persediaan daripada sekarang untuk cari pelapis baharu. Kita mahu sekolah kita ada wakil, janji ada seorang pun cukup untuk jadi atlet SUKMA.

“Saya rasa bangga kerana sukan kabaddi ini diperkenalkan dalam SUKMA tahun depan. Sebagai rakyat Malaysia, ini peluang keemasan untuk tonjolkan sukan tradisi kami,” katanya kepada Media Selangor.

Beliau ditemui selepas menerima kunjungan EXCO Sumber Manusia V. Papparaidu di kediamannya di Telok Panglima Garang di sini, sempena ziarah sambutan Deepavali, hari ini.

Awal Ogos lalu, KBS mengumumkan empat sukan tambahan akan dipertandingkan pada temasya SUKMA yang dijadualkan berlangsung di Selangor pada 15 hingga 24 Ogos tahun depan.

Sukan terbabit adalah catur, e-sukan, kriket dan kabaddi, manakala acara tinju dan sofbol menjadi sukan wajib bermula edisi Selangor.

Untuk rekod, SJKT Jenjarom dinobatkan sebagai juara keseluruhan dalam Kejohanan Kabaddi Sekolah-Sekolah Daerah Kuala Langat 2025 yang diadakan pada Julai lalu.