KUALA LANGAT, 17 OKT: Kerajaan Negeri memberi jaminan proses pembelajaran murid Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan tidak akan terjejas susulan kejadian ribut kuat yang menyebabkan kerosakan serius pada beberapa blok termasuk surau sekolah berkenaan.
EXCO Hal Ehwal Agama Islam, Mohammad Fahmi Ngah berkata Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) memberi cuti khas selama dua minggu kepada semua pelajar bagi memberi ruang kerja-kerja pembaikan dijalankan dengan selamat.
“Kita bernasib baik sebab minggu depan memang cuti sekolah. Pihak Jais beri cuti dua minggu dahulu, namun minggu depan ada kumpulan pelajar yang akan menduduki peperiksaan.
“Kita akan pastikan kelas khas disediakan bagi mereka yang akan ambil peperiksaan, manakala murid lain boleh meneruskan pembelajaran dari rumah selepas cuti nanti,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kerosakan sekolah berkenaan, hari ini.
Mohammad Fahmi berkata insiden ribut itu turut memberi kesan trauma kepada murid dan guru, namun Kerajaan Negeri kekal komited memastikan keselamatan serta kesinambungan pendidikan anak-anak Selangor terjamin.
Dalam masa sama, beliau menggalakkan orang ramai yang ingin membantu menyalurkan sumbangan bagi pembinaan semula kemudahan sekolah melalui Tabung Tijari (JAIS) dengan rujukan “SRA Kampung Medan.”
Pada Isnin lalu, beberapa kawasan sekitar Kuala Langat dilanda ribut kuat disusuli puting beliung yang menyebabkan kerosakan besar terhadap kediaman, sekolah dan kenderaan penduduk.
Selain SRA Kampung Medan, bencana sama turut menjejaskan bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya dan SK Kampung Medan.







