ad

Ribut: Selangor lulus RM350,000 bantu baik pulih SRA Kampung Medan

17 Okt 2025, 10:24 AM
Ribut: Selangor lulus RM350,000 bantu baik pulih SRA Kampung Medan
Ribut: Selangor lulus RM350,000 bantu baik pulih SRA Kampung Medan
Ribut: Selangor lulus RM350,000 bantu baik pulih SRA Kampung Medan
Ribut: Selangor lulus RM350,000 bantu baik pulih SRA Kampung Medan

KUALA LANGAT, 17 OKT: Kerajaan Negeri meluluskan peruntukan awal berjumlah RM350,000 daripada Tabung Bencana Negeri Selangor bagi melaksanakan kerja pembaikan Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan yang rosak teruk akibat ribut pada 15 Oktober lalu.

EXCO Agama Islam Mohammad Fahmi Ngah berkata taksiran awal kerosakan dianggarkan bernilai RM350,000, namun jumlah itu dijangka meningkat selepas penilaian lanjut dilakukan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR).

EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah bercakap kepada media selepas melawat Sekolah Rendah Agama Kampung Medan, Kuala Langat pada 17 Oktober 2025. Foto: AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

“Kita akan tunggu pengesahan pihak JKR dan mohon dana tambahan sekiranya perlu untuk meneruskan kerja-kerja baik pulih,” katanya ketika ditemui selepas meninjau kerosakan sekolah berkenaan, hari ini.

Beliau menjelaskan, antara kerosakan paling serius melibatkan blok bahagian depan dan surau sekolah yang hampir musnah sepenuhnya serta memerlukan pembinaan semula. Selain itu, bumbung dan sistem pendawaian di beberapa blok turut perlu diganti bagi memastikan keselamatan pelajar terjamin.

EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah (tiga, kanan) menyampaikan cek cura kepada Guru Besar Sekolah Rendah Agama Kampung Medan, Kuala Langat Tarmilah Wage (dua, kiri) ketika mengadakan lawatan kerja ke sekolah tersebut pada 17 Oktober 2025. Foto: AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Mohammad Fahmi turut mengarahkan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) supaya menyegerakan kerja pembaikan agar sesi pengajaran dan pembelajaran dapat disambung secepat mungkin.

Dalam lawatan tersebut, seramai 13 pelajar terkesan menerima sumbangan tunai RM1,000 setiap seorang melalui Tabung Bencana Negeri, manakala JAIS turut menyerahkan RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) sekolah.

EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah (tiga, kanan) menyampaikan sumbangan kepada mangsa ribut ketika mengadakan lawatan ke Sekolah Rendah Agama Kampung Medan, Kuala Langat pada 17 Oktober 2025. Foto: AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Sementara itu, Tabung Infak Jariah Umat Islam (TIJARI) melalui JAIS menyalurkan RM18,000 kepada PIBG dan murid-murid terjejas, manakala Halal International Selangor (HIS) turut menyumbang RM1,300 kepada 13 pelajar berkenaan.

“Kejadian ini amat traumatik buat murid dan guru, namun Kerajaan Negeri komited memastikan keselamatan serta kesinambungan pendidikan pelajar di SRA Kampung Medan terus terjamin,” katanya.

Kerajaan Selangor sebelum ini menegaskan komitmen berterusan untuk memperkasakan prasarana pendidikan Islam termasuk memastikan sekolah agama negeri dilengkapi kemudahan yang selamat dan kondusif bagi generasi muda.

EXCO Agama Dr Mohammad Fahmi Ngah melihat kerosakan sekolah akibat dilanda ribut ketika melawat Sekolah Rendah Agama Kampung Medan, Kuala Langat pada 17 Oktober 2025. Foto: AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR