KUALA LANGAT, 17 OKT: Awan tiba-tiba bertukar gelap, angin yang pada mulanya bertiup perlahan tiba-tiba menderu kuat. Dalam sekelip mata, suasana sekolah bertukar kecoh.
Itulah detik mencemaskan yang tidak akan dilupakan oleh guru-guru Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan apabila ribut kuat melanda sekolah berkenaan pada 15 Oktober lalu.
Guru, Ummi Abdullah, 41, berkata ketika kejadian, murid-murid Tahun Satu baharu sahaja selesai waktu rehat sebelum beliau menyedari perubahan cuaca yang luar biasa.
“Saya nampak cuaca tiba-tiba gelap, jadi saya arahkan murid tutup pintu dan tingkap. Ingatkan cuma hujan lebat biasa, tak sangka angin kuat datang dengan bunyi yang tak pernah saya dengar,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan di sini, hari ini.

Beliau berkata, tindakan pantas itu berjaya menyelamatkan nyawa apabila semua murid diarah berkumpul di depan kelas berhampiran papan putih, jauh daripada tingkap.
“Saya suruh mereka duduk depan, tunduk pandang bawah sebab bimbang bumbung runtuh. Tak lama lepas itu, kaca tingkap pecah berterbangan.
Kalau murid masih duduk di meja masing-masing, mungkin mereka terkena serpihan kaca,” katanya.
Menurut Ummi, suasana bertambah panik apabila murid-murid menangis dan memanggil ibu bapa masing-masing. Namun, beliau segera menenangkan keadaan dengan mengajak mereka berzikir dan mengaji.
“Saya kuatkan suara ajak mereka berzikir supaya tak meraung. Alhamdulillah, mereka jadi lebih tenang dan fokus baca zikir walaupun ribut tengah kuat,” katanya.
Sementara itu, seorang lagi guru, Nurul Najat Hamdan, 37, turut berdepan pengalaman menakutkan apabila melihat sendiri perubahan cuaca sebelum ribut berlaku.
“Masa itu ada murid tengah rehat, saya nampak ramai tengok awan. Bila saya perasan petugas kedai buku buat isyarat berpusar-pusar. Saya terus arahkan murid masuk kelas. Dalam 10 saat je lepas tu, ribut kuat datang,” katanya.

Beliau berkata, tingkap kaca pecah, serpihan berterbangan manakala murid menjadi tidak terkawal, menjerit dan menangis ketakutan.
“Ada yang menjerit nak balik, nak cari ibu. Saya suruh murid azan. Dalam surau pun ada murid Tahun Enam tengah berlatih nasyid masa kejadian,” katanya.
Tambahnya, ramai murid kini mengalami trauma, demam dan mengigau pada waktu malam. Malah ada yang takut setiap kali mendengar bunyi angin walaupun perlahan.









