KUALA LUMPUR, 17 OKT: Ribut kuat yang melanda Sijangkang, Selangor Rabu lepas berpunca daripada pergerakan garis badai yang membawa ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh singkat.
Pensyarah Kanan Universiti Putra Malaysia Dr Zulfa Hanan Ash’aari berkata kawasan di pantai barat Semenanjung seperti Selangor lebih terdedah kepada kesan garis badai yang terbentuk di Selat Melaka, menjadikan tempat seperti Sijangkang berpotensi mengalami ribut kuat dari semasa ke semasa.
“Fenomena ribut kuat ini tidak berlaku setiap hari tetapi ia bukanlah asing di Malaysia khususnya pada musim peralihan monsun.
"Beberapa tahun kebelakangan ini, terdapat laporan ribut kuat atau puting beliung berskala kecil di Kedah, Perak, Selangor dan Negeri Sembilan,” katanya kepada Bernama.
Insiden pada petang Rabu itu menyaksikan seorang wanita berusia 51 tahun cedera selepas terperangkap di bawah runtuhan bumbung Dewan Wawasan Kampung Medan, yang turut menempatkan Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri Sijangkang.
Selain itu, lima sekolah, sebuah dewan dan kira-kira 40 rumah dilaporkan mengalami kerosakan manakala sekurang-kurangnya tujuh murid cedera ringan.
Zulfa Hanan berkata ribut biasanya berlaku apabila udara panas dan lembap naik dengan pantas, membentuk awan kumulonimbus yang lazimnya menghasilkan kilat, guruh, hujan lebat serta angin kencang yang boleh mengganggu aktiviti harian dan keselamatan awam.
Beliau berkata dalam keadaan tertentu, wujud fenomena ricihan angin iaitu angin bertiup dengan arah dan kelajuan berbeza pada lapisan atmosfera berlainan yang bukan sahaja menguatkan ribut petir malah berupaya membentuk pusaran udara.
“Keadaan ini boleh mengakibatkan puting beliung atau belalai darat jika ia cukup kuat dan memanjang dari awan ke permukaan bumi,” katanya.
Pakar Hidrologi dan Permodelan Banjir Universiti Kebangsaan Malaysia Profesor Dr Mohd Ekhwan Toriman pula berkata kejadian ribut kuat disertai puting beliung secara amnya jarang berlaku di Malaysia kerana pembentukannya yang bersifat lokal dan sukar dikesan oleh satelit cuaca.
"Namun begitu, ada beberapa kejadian puting beliung yang direkodkan di Malaysia... misalnya pada 30 Jan 2022 jam 6.40 petang, ia dilaporkan berlaku di Taman Tasek Damai dan Kampung Tawas di Ipoh, Perak," katanya.
Beliau berkata perubahan iklim global akan mengubah corak cuaca dan iklim di Malaysia, menyebabkan berlakunya peningkatan suhu, fenomena cuaca ekstrem serta kenaikan aras air laut yang berpotensi mengakibatkan bencana.
Sementara itu, pensyarah kanan di Jabatan Geografi Universiti Malaya Dr Sheeba Chenoli berkata walaupun sistem amaran awal telah banyak ditambah baik melalui amaran masa nyata MetMalaysia, aplikasi mudah alih dan pemantauan berasaskan radar, cabaran yang signifikan masih wujud.
"Bukan mudah untuk meramalkan kejadian yang berlaku dalam tempoh singkat dan bersifat tempatan seperti awan corong serta mikroletusan, yang sering terbentuk dengan begitu pantas sehingga amaran konvensional sukar diberikan," katanya.
-- BERNAMA