SHAH ALAM, 25 FEB: Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) meluluskan peruntukan sebanyak RM16.9 juta bagi membaiki empat sekolah di Sijangkang, Kuala Langat yang rosak akibat ribut kuat pada Oktober lalu.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata tindakan segera diambil sejurus kejadian, dengan penilaian teknikal dilaksanakan seawal sehari selepas insiden berlaku.
Menurutnya, kerja pembaikan turut dipercepat menerusi kaedah lantikan terus khas, manakala kelulusan pelarasan skop kerja dibuat berdasarkan keperluan di tapak.
"KPM telah meluluskan peruntukan berjumlah RM16.9 juta bagi pelaksanaan kerja pembaikan melibatkan empat buah sekolah yang terjejas dengan kejadian ribut yang berlaku di sekitar Sijangkang, Kuala Langat pada 15 Oktober 2025.
"Penetapan kos ini adalah berdasarkan pengesahan skop dan anggaran teknikal yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR), bagi memastikan kerja-kerja pembaikan dapat dilaksanakan secara teratur, selamat serta mematuhi piawaian teknikal dan tatacara semasa yang berkuat kuasa,” katanya dalam jawapan bertulis di Parlimen.
Beliau menjawab pertanyaan Ahli Parlimen Kuala Langat, Ahmad Yunis Hairi, berhubung jumlah keseluruhan kos pembaikan bagi empat sekolah terjejas serta kelancaran sesi persekolahan baharu di sekolah terbabit.
Menurut Fadhlina, kerja pembaikan bagi tiga daripada empat sekolah berjaya disiapkan lebih awal daripada jadual, sekali gus membolehkan sesi persekolahan bersemuka disambung semula tanpa gangguan berpanjangan.
Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sijangkang dan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya dibuka semula pada 12 Januari, manakala SK Kampung Medan melaksanakan kaedah pengajaran dan pembelajaran bersemuka serta Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) secara hibrid dari 12 hingga 14 Januari sebelum kembali beroperasi seperti biasa.
Sementara itu, SK Jalan Tanjung siap dibaik pulih sepenuhnya pada 27 Januari dan mula beroperasi pada 3 Februari.
"Kejayaan ini mencerminkan tindakan pantas dan keprihatinan KPM dalam memastikan keselamatan murid terjamin serta kelangsungan pendidikan dapat dipulihkan dalam tempoh yang singkat," katanya.
Pada 15 Oktober 2025, media melaporkan ribut pada waktu petang menyebabkan kerosakan pelbagai bangunan dan struktur di sekitar Sijangkang, termasuk kediaman, sekolah serta Pejabat Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang.
Insiden berkenaan dilaporkan berpunca daripada pergerakan garisan badai (squall line) yang membawa ribut petir, hujan lebat dan angin kencang dalam tempoh singkat.






