ad

‘Kurang 10 saat, semua bumbung tercabut’ - penduduk Sijangkang kongsi detik cemas dilanda ribut

16 Okt 2025, 10:40 AM
‘Kurang 10 saat, semua bumbung tercabut’ - penduduk Sijangkang kongsi detik cemas dilanda ribut
‘Kurang 10 saat, semua bumbung tercabut’ - penduduk Sijangkang kongsi detik cemas dilanda ribut
‘Kurang 10 saat, semua bumbung tercabut’ - penduduk Sijangkang kongsi detik cemas dilanda ribut

KUALA LANGAT, 16 OKT: “Kurang 10 saat, semua bumbung tercabut.”

Demikian detik cemas dikongsi Noor Zaini Abdullah, 26, apabila ribut kuat melanda kawasan Sijangkang petang semalam, menyebabkan rumahnya dan puluhan kediaman lain rosak teruk.

Menurutnya, kejadian berlaku kira-kira 3 petang ketika dia sedang membasuh pakaian di luar rumah sebelum berlari masuk sebaik menyedari angin bertiup semakin kencang.

Noor Zaini Abdullah 26 ketika ditemui media di pusat pemindahan sementara Dewan Harmoni Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Mula-mula ingatkan angin biasa, tapi tiba-tiba dalam lima saat bumbung tercabut satu demi satu. Bila saya berlari masuk ke dalam rumah, dua saat kemudian semua (bumbung) hilang.

"Kami terus lari, saya sempat menyorok di belakang pintu. Rumah jiran kiri kanan pun rosak teruk,” katanya ketika ditemui di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Harmoni, Telok Panglima Garang, di sini hari ini.

Pengalaman sama turut dikongsi Kamarulazmil Kamaruzaman, 39, yang hanya sempat menyelamatkan diri sehelai sepinggang tanpa membawa sebarang dokumen penting kerana ribut melanda terlalu pantas.

Kamarulazmil Kamaruzaman, 39, ketika ditemui media di pusat pemindahan sementara Dewan Harmoni Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Kami empat orang termasuk anak-anak terus lari keluar rumah. Tak sempat ambil apa-apa, semua dokumen habis tertimbus. Rumah runtuh sepenuhnya,” ujarnya pilu.

Sementara itu, Mohd Noor Ehsan Zaidi, 16, cedera di tangan akibat terkena serpihan siling yang jatuh ketika kejadian.

Muhammad Noor Ehsan Zaidi, 16, menunjukkan tangan kanannya yang cedera ketika ditemui media di pusat pemindahan sementara Dewan Harmoni Teluk Panglima Garang, Kuala Langat pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Saya tengah duduk dalam bilik, tiba-tiba siling runtuh. Luka sampai perlu tiga jahitan. Tak sempat nak selamatkan barang langsung,” katanya.

Bagi Sazari Mohdin, 67, beliau bersyukur tidak berada di rumah sewaktu ribut melanda.

“Kalau kami masih dalam rumah masa tu, tak tahu apa jadi. Dalam sekelip mata semua terbang. Mujur anak minta tolong ambil barang di rumahnya dan saya sempat keluarkan kereta.

"Saya reda, semua ini ketentuan Allah. Pagi tadi nampak burung murai depan rumah, macam petanda, sebab sebelum ni tak pernah ada,” katanya yang tinggal di Jalan Manggis, Kampung Medan.

Sementara itu, warga emas Nusiah Kasim, 83, berkata beliau masih trauma dan tidak dapat tidur lena selepas berdepan pengalaman menakutkan itu.

“Saya menggeletar, dada berdebar-debar dan menangis. Mulut tak berhenti beristighfar sebab terlalu takut,” katanya.

Setakat ini, kira-kira 30 rumah dilaporkan rosak pelbagai peringkat dengan 10 daripadanya tidak selamat diduduki.

Pihak berkuasa tempatan bersama agensi Kerajaan Negeri kini giat melaksanakan kerja pembersihan serta menyalurkan bantuan segera kepada penduduk terjejas.

Sementara itu, Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sijangkang Datuk Zurihan Yusop berkata pejabatnya turut terjejas teruk dalam kejadian berkenaan.

Penyelaras DUN Sijangkang Datuk Zurihan Yusop ditemui media selepas melawat Pusat Khidmat Penyelaras DUN Sijangkang yang musnah dilanda ribut dan puting beliung pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

“Seorang kakitangan wanita cedera serius di paha dipercayai terkena serpihan kaca semasa kejadian dan kini dirawat di ICU.

“Ketika ribut, kami semua sempat berlindung di bawah meja,” katanya selepas meninjau lokasi kejadian hari ini.

Ketua Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI Ahmad Azri Zainal Nor dibawa meninjau keadaan Pusat Khidmat penyelaras DUN Sijangkang yang musnah dilanda ribut dan puting beliung pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR

Semalam, beberapa kawasan sekitar Kuala Langat dan Meru dilanda ribut kuat yang menyebabkan kerosakan besar pada kediaman, sekolah serta kenderaan penduduk.

Berdasarkan video tular di media sosial, puting beliung kecil turut dikesan dalam kejadian itu, yang memusnahkan sebahagian bangunan Sekolah Kebangsaan (SK) Sijangkang Jaya, SK Kampung Medan dan Sekolah Rendah Agama Kampung Medan.

Keadaan Sekolah Kebangsaan Kampung Medan Teluk Panglima Garang yang mengalami kerosakkan teruk selepas dilanda ribut dan puting beliung dirakaman ketika tinjauan Media selangor pada 16 Oktober 2025. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR