SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan Negeri memperuntukkan RM64,000 bagi membantu 64 keluarga yang terjejas akibat ribut dan puting beliung di Sijangkang, Kuala Langat baru-baru ini.
Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata menerusi bantuan itu setiap keluarga akan menerima RM1,000 untuk bagi meringankan beban mereka.

"Selain itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) turut mengesan seramai 14 penduduk termasuk seorang pegawai pusat khidmat yang mengalami kecederaan akibat kejadian ribut tersebut.
"Kesemua mereka sedang dirawat di hospital dan akan diberikan bantuan sebanyak RM1,000 seorang," katanya dalam kenyataan hari ini.

Amirudin turut memaklumkan kerja baik pulih Sekolah Rendah Agama (SRA) Kampung Medan yang terjejas akibat bencana itu akan dilaksanakan dengan anggaran kos RM320,000 di bawah Tabung Bencana Negeri.
Kelmarin, beberapa kawasan di Meru, Klang dan Sijangkang, Kuala Langat dilanda ribut kuat disusuli puting beliung menyebabkan kerosakan teruk pada rumah, sekolah dan kenderaan penduduk.
Susulan kejadian itu, Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI menyalurkan bantuan awal berjumlah RM400,000, manakala Jabatan Agama Islam Selangor turut menyumbang RM5,000 kepada Persatuan Ibu Bapa dan Guru serta RM500 kepada 13 pelajar SRA Kampung Medan yang terjejas.






