Jumlah haiwan liar terus meningkat saban tahun dan menjadi isu berpanjangan kepada masyarakat serta pihak berkuasa.
Badan bukan kerajaan (NGO) yang berusaha menyelamat haiwan berkenaan menegaskan pendekatan menangkap dan menempatkan haiwan di pusat kurungan bukanlah penyelesaian jangka panjang.
Mereka sebaliknya berpendapat kaedah berperikemanusiaan seperti pemandulan, galakan pengambilan angkat serta pendidikan mengenai pemilikan bertanggungjawab perlu diperkukuh melalui dasar dan pelaksanaan yang lebih menyeluruh.
Suara NGO dan penyelamat individu adalah jelas - pemandulan ialah langkah asas mengawal populasi haiwan liar, manakala pendidikan dan penguatkuasaan dasar merupakan penyelesaian jangka panjang.
Sekiranya kerajaan menggabungkan perundangan, program Tangkap, Mandul dan Lepas Semula (TNR), pendidikan serta bancian haiwan secara sistematik, isu haiwan liar dapat ditangani tanpa bergantung kepada kaedah pelupusan atau pembunuhan.

Tangkapan tidak kurangkan jumlah haiwan
Presiden Persatuan Pawtaruan, Navwinderan Mahenderan berkata, banyak pihak berkuasa tempatan (PBT) masih bergantung kepada operasi menangkap, mengurung atau memusnahkan haiwan liar, namun pendekatan tersebut terbukti tidak menyelesaikan masalah.
“Jumlah haiwan liar tidak akan berkurang melalui tangkapan semata-mata. Satu-satunya pendekatan yang berkesan ialah menggabungkan kaedah berperikemanusiaan dengan dasar yang jelas,” katanya.
Organisasi seumpama itu berjaya menyelamat 30 hingga 35 anjing liar setiap bulan melalui kaedah TNR.
Proses itu melibatkan pembedahan pemandulan, pemerhatian dua hari selepas rawatan, sebelum haiwan dilepaskan kembali ke lokasi asal atau diserahkan untuk program pengambilan angkat.
“Kami tidak menggunakan jerat seperti yang biasa digunakan sesetengah PBT kerana ia boleh mencederakan haiwan.
"Sebaliknya, kami bekerjasama dengan individu yang memberi makan haiwan tersebut supaya haiwan mendekati perangkap secara sukarela. Ini jauh lebih selamat dan berperikemanusiaan,” jelasnya.
Menurut Navwinderan, kos pemandulan seekor anjing termasuk penempatan sementara mencecah sekitar RM250.
Jika rawatan tambahan seperti ubat kutu dan perawatan asas diperlukan, kos boleh meningkat sehingga RM350 seekor.

Pusat pelindungan harapkan derma awam
Persatuan Pawtaruan kini menempatkan 68 ekor anjing dan 30 ekor kucing dengan kos operasi bulanan sekurang-kurangnya RM8,000 yang ditampung melalui derma awam dan jualan amal.
Navwinderan turut menganjurkan program pengambilan angkat bersama Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Rakyat (ADN).
Setiap pengambil angkat diwajibkan memandulkan haiwan dalam tempoh enam bulan dan mendaftarkan lesen anjing sebagai langkah kawalan.
“Masalah ini berpunca dari komuniti. Ada pemilik menyembunyikan anjing mereka ketika operasi tangkapan dijalankan.
"Namun apabila haiwan itu beranak dan tidak lagi mampu ditanggung, anak-anak anjing akhirnya dibuang semula ke jalanan,” katanya.
Beliau menggesa kerajaan memperkenalkan peraturan lebih tegas termasuk pemandulan wajib sebelum lesen pemilikan haiwan diluluskan.
“Jika lesen pemilikan haiwan dilaksanakan secara serius, pembiakan tidak terkawal dapat dibendung dari peringkat awal,” tegasnya.

NGO gesa komitmen kerajaan
Navwinderan berkata TNR kini hanya dijalankan secara kecil-kecilan oleh NGO dan beberapa pihak swasta kerana kekurangan sumber.
Pelaksanaan TNR secara besar-besaran memerlukan komitmen kerajaan dari segi dana, tenaga pakar dan kerjasama PBT.
Beliau menjelaskan selain dasar dan TNR, pendidikan awam serta pembinaan data nasional mengenai haiwan liar juga penting.
"Persatuan Pawtaruan turut menjalankan program kesedaran di sekolah bagi mendidik pelajar cara berhadapan dengan anjing liar secara selamat dan tidak mencetuskan provokasi," katanya.
Beliau turut mencadangkan kerajaan membiayai penyelidikan di peringkat universiti untuk menjalankan bancian populasi haiwan liar sebagai asas penyusunan polisi yang lebih tepat.
“Isu ini bukan sekadar emosi. Dengan data yang jelas, barulah kita ada arah dasar yang betul dan tidak bergantung kepada tangkap dan lupus semata-mata,” tegasnya.
“Jika kerajaan menggandingkan undang-undang, TNR dan pendidikan awam, kita mampu mengurus populasi haiwan liar secara berperikemanusiaan dan mampan, tanpa bergantung kepada pembunuhan atau suntikan pelalian.”