Kehadiran kucing dan anjing liar kini menjadi pemandangan biasa di kawasan bandar mahupun luar bandar.
Haiwan ini sering berkeliaran mencari makanan di tong sampah, mengganggu kawasan perumahan, malah sesekali mencetuskan konflik antara manusia dan haiwan.
Fenomena ini mencerminkan kelemahan kesedaran pemilikan haiwan peliharaan, kekurangan dasar awam yang berkesan serta kurangnya pendidikan masyarakat mengenai kebajikan haiwan.
Peningkatan bilangan haiwan liar berpunca daripada pelbagai faktor, termasuk pembuangan haiwan peliharaan, ketiadaan amalan pemandulan secara menyeluruh serta tahap kesedaran yang rendah terhadap pemeliharaan bertanggungjawab.
Media Selangor menelusuri permasalahan ini dan membincangkan pendekatan penyelesaian yang lebih menyeluruh serta berperikemanusiaan.

Pemilikan tanpa komitmen punca utama
Pemilik haiwan, Lee Shun Wei, berkata peningkatan jumlah anjing liar berpunca daripada sikap sesetengah individu yang mengambil haiwan peliharaan secara impulsif tanpa mempertimbangkan komitmen jangka panjang.
“Memelihara anjing adalah satu janji terhadap nyawa. Ia bukan keputusan sementara tetapi komitmen seumur hidup,” katanya.
Jelasnya, selain masa dan perhatian, pemilik haiwan perlu menanggung kos makanan, rawatan veterinar serta penjagaan kebersihan.
“Beban kewangan sering menjadi punca pemilik memilih untuk membuang haiwan apabila tidak lagi mampu menanggung kos tersebut,” ujarnya.
Menurut Shun Wei, penyelesaian terhadap isu haiwan liar memerlukan kerjasama pelbagai pihak termasuk pemilik haiwan yang bertanggungjawab, pendidikan masyarakat, pelaksanaan undang-undang lebih ketat serta program pemandulan yang diperluas bagi mengawal pembiakan berlebihan.

Bukan setakat beri makan tetapi bertanggungjawab
Tindakan memberi makan kepada haiwan liar sering dilakukan atas dasar simpati, namun menurut doktor veterinar dan pakar kebajikan haiwan, Dr Natasha Lee, tindakan itu boleh mempercepat pembiakan sekiranya tidak disertai langkah kawalan.
“Memberi makan semata-mata tanpa memastikan haiwan dimandulkan hanya meningkatkan populasi mereka. Namun, melarang terus pemberian makanan juga tidak wajar kerana ia menzalimi haiwan,” jelasnya.
Beliau menegaskan keperluan kepada amalan pemberian makan bertanggungjawab — memastikan haiwan yang diberi makan dimandulkan, sihat dan tidak menimbulkan ancaman kepada masyarakat.
Tangkap, mandul dan lepas semula
Mengulas tindakan pihak berkuasa tempatan yang masih menjalankan operasi tangkap dan lupus, Dr Natasha berpandangan kaedah itu tidak lagi selari dengan tuntutan kebajikan haiwan dan tidak efektif dalam jangka panjang.
Sebagai alternatif, beliau mengesyorkan pelaksanaan program Tangkap, Mandul dan Lepas Semula (TNR) secara sistematik dengan pengawasan komuniti serta sokongan profesional.
“Pengurusan haiwan liar tidak boleh diselesaikan dalam masa singkat. Ia memerlukan perancangan jangka panjang yang melibatkan pendidikan masyarakat, kawalan pembiakan, penguatkuasaan undang-undang serta komitmen kerajaan,” tegasnya.

Pemandulan langkah paling efektif
Jurulatih anjing berpengalaman, Dave Teoh, pula berpendapat isu haiwan liar tidak akan selesai selagi masyarakat terus membuang haiwan dan tidak memandulkan haiwan peliharaan mereka.
“Seekor anjing betina boleh melahirkan lebih 10 ekor anak setahun. Tanpa pemandulan, pembiakan berlaku tanpa kawalan — kadar ini jauh mengatasi jumlah tangkapan,” katanya.
Dave percaya TNR merupakan kaedah paling mampan untuk mengawal populasi haiwan liar jika dilaksanakan secara bersepadu melibatkan kerajaan dan komuniti.
Beliau turut menegur kaedah operasi pihak berkuasa tempatan dalam menangkap haiwan yang dianggap tidak sensitif dan menimbulkan kecaman masyarakat.
“Masalahnya bukan pegawai tidak bertanggungjawab, tetapi kekurangan latihan profesional dalam memahami tingkah laku haiwan,” jelasnya.
Katanya, latihan kendalian haiwan perlu diberikan kepada pegawai terlibat supaya operasi dijalankan secara lebih berperikemanusiaan dan tidak mencetuskan tekanan atau kekerasan terhadap haiwan.
Kesimpulannya, isu haiwan liar bukan hanya soal kebersihan atau keselamatan awam, tetapi mencerminkan tahap tanggungjawab dan empati masyarakat terhadap makhluk yang berkongsi ruang hidup bersama manusia.
Penyelesaian mampan memerlukan perubahan sikap, dasar berasaskan sains dan tindakan bersama semua pihak — dari pemilik haiwan hingga ke pembuat dasar.