Isu haiwan liar semakin membimbangkan apabila anjing dan kucing yang berkeliaran di jalanan bukan sahaja mencetuskan risiko keselamatan awam tetapi turut menimbulkan masalah kebersihan.
Aduan orang ramai kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) meningkat saban tahun. Di Klang sahaja, Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menerima di antara 200 hingga 300 aduan sebulan berkaitan haiwan liar.
Kaedah tradisional - menangkap dan menempatkan haiwan di pusat sementara - tidak mampu mengekang kadar pembiakan, malah terus mengundang bantahan pertubuhan kebajikan haiwan dan pencinta haiwan.
Dalam mencari keseimbangan di antara keselamatan awam, kesihatan persekitaran dan kebajikan haiwan, PBT berdepan cabaran sumber dan persepsi masyarakat.

Pusat transit haiwan liar MBDK sesak
Pusat transit haiwan liar MBDK yang beroperasi hampir 20 tahun kini menempatkan sekitar 30 ekor anjing yang sedang menunggu tindakan lanjut, termasuk kes menggigit penduduk.
Menurut Ahli Majlisnya, Lee Fu Haw, isu haiwan liar adalah masalah nasional yang berpunca daripada pengurusan sisa makanan yang lemah serta pemberian makan tanpa kawalan oleh orang awam.
“Memberi makan atas dasar simpati bukan salah, tetapi jika tanpa pemandulan, ia hanya mempercepat pembiakan,” katanya.
Beliau berkata MBDK menangkap di antara 100 hingga 200 ekor anjing liar setiap bulan, tetapi tindakan itu memerlukan kos dan tenaga kerja yang tinggi.
“Setiap haiwan akan ditempatkan selama 14 hari untuk tuntutan pemilik atau pengambilan angkat sebelum tindakan lanjut diambil mengikut prosedur,” jelasnya.
MBDK merancang membina pusat perlindungan baharu yang bakal dilengkapi zon aktiviti terbuka serta pusat pemandulan bagi menyokong program Tangkap, Mandul dan Lepas Semula (TNR).
Projek bertempat di tanah seluas 6 ekar di Pulau Indah, Klang dijangka siap dalam tempoh dua tahun.

Hanya tujuh anggota operasi, 300 aduan setiap bulan
Pengarah Jabatan Kesihatan MBDK, Mohamad Shukri Abd Majid mengakui pasukan operasi haiwan liar kekurangan tenaga kerja.
“Kami hanya ada dua pasukan operasi dengan tujuh anggota untuk seluruh Klang. Setiap hari kami menerima hampir 300 aduan,” katanya.
Beliau berkata kebanyakan aduan melibatkan keselamatan awam seperti anjing mengejar kanak-kanak, menggigit orang awam dan mengganggu kawasan perumahan.
Walaupun kekangan sumber, katanya, MBDK tidak hanya menjalankan operasi tangkapan, tetapi turut mengadakan kerjasama komuniti dan kempen pemandulan bersama NGO untuk mengawal populasi haiwan liar.

MPKL bina pusat perlindungan RM1.92 juta
Di Kuala Langat, Majlis Perbandaran Kuala Langat (MPKL) menjadi PBT pertama di Selangor yang melaksanakan TNR secara rasmi sejak 2024.
Ahli Majlisnya, Ang Lee Yong berkata TNR digerakkan untuk mengatasi masalah pembiakan haiwan liar yang serius, namun cabarannya besar.
“Hari ini kita mandulkan 50 ekor anjing, tidak lama kemudian 100 ekor lagi muncul. Pembiakan terlalu cepat,” katanya.
MPKL nakal membina pusat perlindungan haiwan baharu bernilai RM1.92 juta di Banting bagi menggantikan pusat sedia ada yang kecil dan sesak.
Di sini, anjing yang ditangkap akan diumpan menggunakan perangkap, dimandulkan, ditanda dan dilepaskan semula ke lokasi asal.
Menurut Lee Yong, kos pemandulan seekor anjing di antara RM200 hingga RM300 tidak termasuk kos makanan, elektrik dan gaji penjaga.
“Jika NGO boleh bekerjasama menawarkan kos pemandulan lebih rendah, lebih banyak haiwan liar dapat dikawal melalui TNR,” katanya.
Beliau menegaskan pemberian makan tanpa kawalan merupakan antara punca populasi haiwan liar terus meningkat.
“Kalau sayang haiwan, jangan sekadar beri makan. Ambil balik, mandulkan dan daftarkan,” katanya.
Beliau menyeru kerjasama masyarakat dan garis panduan negeri yang jelas bagi memastikan setiap PBT melaksanakan pengurusan haiwan liar secara sistematik.




